Sabtu, 28 Julai 2018 | 6:31pm
NORZA (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Eksekutif MOM ke-186 di Wisma MOM hari ini. - Foto Owee Ah Chun
NORZA (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Eksekutif MOM ke-186 di Wisma MOM hari ini. - Foto Owee Ah Chun

Regu negara dijangka beraksi 

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini berkata Malaysia dijangka kembali beraksi dalam acara regu di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018.

Keputusan  berkenaan dicapai selepas Setiausaha MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib dan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, pergi sendiri ke Indonesia bagi mengadakan pertemuan dengan Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) di Jakarta, kelmarin.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata dia gembira kerana rundingan berkenaan membuahkan hasil positif, sekali gus membolehkan Malaysia kembali bersaing dalam dua acara - regu dan regu berpasukan di Sukan Asia nanti.

"Walaupun hasil pertemuan berkenaan nampak positif, kita masih perlu menunggu pengesahan rasmi daripada OCA dan INASGOC berhubung perkara itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Eksekutif MOM ke-186 di Wisma MOM hari ini.

"Oleh itu, saya berharap kita akan menerima surat pengesahan rasmi daripada OCA dalam masa sehari dua ini."

Norza berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini isu undian skuad regu sepak takraw Malaysia ke Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 yang akan berlangsung bulan depan.

Dalam pada itu, Norza mengesahkan Malaysia akan menghantar seramai 423 atlet dan 207 pegawai sebagai kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018 nanti termasuk 182 atlet bersaing menerusi kategori A dan 241 atlet menerusi kategori B.

"Pengurangan jumlah atlet  ini adalah kerana dua atlet mendaki digugurkan oleh persatuan sukan berkenaan, manakala seorang atlet ekuestrian terpaksa menarik diri berikutan masalah kuda," katanya.

Terdahulu, Norza mengesahkan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MOM hari ini memutuskan supaya setiap persatuan sukan kebangsaan perlu melantik seorang atlet atau bekas atlet sukan sebagai wakil tetap ke MOM, dalam masa terdekat.

"Kita berharap usaha ini membolehkan semua atlet sukan menyuarakan pandangan dan masalah atau isu berkaitan kebajikan serta rasa tidak puas hati mereka terhadap layanan diberikan oleh persatuan sukan kebangsaan kepada MOM menerusi saluran yang betul.

"Bagaimanapun perkara itu bukan wajib dan persatuan sukan kebangsaan boleh menggunakan mekanisme sendiri untuk menentukan siapa yang bakal menjadi wakil atlet ke MOM," katanya.

Berita Harian X