Khamis, 26 Julai 2018 | 5:47pm
 LOY Hee Ying. - Foto Osman Adnan
LOY Hee Ying. - Foto Osman Adnan

Peluang Hee Ying lakar hatrik

KUALA LUMPUR: Juara dua kali berturut-turut, Loy Hee Ying sah akan beraksi pada Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) yang bakal berlangsung dari 10 hingga 12 Ogos ini. 

Sekiranya Hee Ying yang muncul juara pada 2016 dan 2017 berjaya memenanginya sekali lagi pada kali ini, dia akan melakar sejarah menjadi pemain wanita pertama negara yang melakar hatrik.

Berdasarkan rekod, Lim Ai Lian pernah menjuarai kejohanan itu sebanyak tiga kali tetapi pada tahun yang berbeza iaitu pada 1991, 1997 dan 1998. 

Pemain amatur yang menduduki ranking tertinggi dan berada di kedudukan 122 Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR) itu ketika ini disahkan akan beraksi pada saingan sepanjang tiga hari itu. 

Pengerusi penganjur kejohanan, Datuk Yasmin Yusuff berkata, setakat ini seramai 40 peserta sudah mengesahkan penyertaan.

"Sekarang kami menanti pengesahan dari Sri Lanka, Thailand dan Malaysia. Kebiasaannya Malaysia menghantar penyertaan di saat akhir. 

"Tarikh tutup penyertaan adalah pada 3 Ogos dan kejohanan ini terbuka kepada semua pemain amatur. 

"Beberapa negara seperti Vietnam, Bangladesh dan Kazakhstan sudah mengesahkan penyertaan," katanya.     

Empat trofi akan menjadi rebutan, iaitu trofi Tuanku Bahiyah, Toh Puan Norashikin, Datin Azian dan Clarissa Lee. 

Sementara itu, sempena ulang tahun ke-125 RSGC, kelab itu memperkenalkan logo pertama kejohanan yang memasuki edisi ke-44.

Berita Harian X