Rabu, 18 Julai 2018 | 6:24pm
EMI Latip - Asrol Awang
EMI Latip - Asrol Awang

Silat Sabah sasar dua emas SUKMA

KUANTAN: Skuad silat Sabah menyasarkan dua emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak yang dijadualkan berlangsung, September ini.

Jurulatihnya, Emi Latip berkata, skuad itu menyandarkan harapan kepada 31 pesilat untuk merealisasikan misi mengutip dua emas pada temasya kali ini.

Katanya, biarpun hanya empat daripada 31 pesilat yang menyertai SUKMA buat kali pertama, komitmen tinggi tetap ditagih untuk merealisasikan sasaran berkenaan.

"Skuad kali ini akan tampil dengan semangat juang berdasarkan beberapa siri persahabatan yang diadakan sebelum ini iaitu bertemu Terengganu, Pahang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kuala Lumpur.

"Pengalaman yang ada pada saya sebagai bekas pesilat kebangsaan boleh membantu pesilat muda untuk meraih kejayaan membanggakan di Perak nanti," katanya.

Emi mahu anak didiknya tampil dengan tahap kecergasan dan ketangkasan untuk bersaing dengan pesilat yang lebih berpengalaman di temasya itu nanti.

"Sudah pasti kami tidak mahu pulang hampa dan sasaran dua emas ini diharap menjadi kenyataan bersandarkan kepada prestasi pesilat.

"Satu emas dan tujuh perak yang diraih pada SUKMA Sarawak dua tahun lalu juga membuktikan bahawa Sabah kini lebih bersedia," katanya.

Berita Harian X