Isnin, 2 Julai 2018 | 9:51pm
PENEMBAK negara, Joseline Cheah Lee Yean.

Joseline sedia tanggung kos sendiri

BUKIT JALIL: Walaupun sukan menembak diletakkan dalam kategori B untuk bertanding di Sukan Asia di Jakarta dan Indonesia, Ogos ini, ia tidak mematahkan semangat penembak negara, Joseline Cheah Lee Yean.

Joseline yang dijadual beraksi dalam acara 10 meter (m) air pistol individu dan berpasukan campuran menegaskan dia sanggup menanggung perbelanjaan sendiri jika diperlukan kerana pengalaman bertanding di Sukan Asia adalah amat berbeza daripada sukan lain.

"Untuk Sukan Asia saya akan buat terbaik untuk mendapatkan keputusan yang baik. Saya pun tak kisah hendak bertanding dalam kategori A ataupun B kerana ia bukan di dalam kawalan saya," katanya kepada pemberita selepas lawatan Chef de Mission (CDM) Kontinjen Malaysia Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi ke pusat latihan menembak di sini hari ini.

"Jika B, saya memang akan bayar tetapi jika boleh saya harap OCM dapat masukkan kami semula ke dalam kategori A. Ini kerana apa yang memberikan saya motivasi adalah pengalaman diperoleh ketika beraksi di Sukan Asia.

"Saya difahamkan Persatuan Menembak Kebangsaan (NSAM) akan mengadakan mesyuarat pada esok dan segala keputusan mengenai perbelanjaan atlet di Sukan Asia akan diputuskan esok...sekiranya mereka tidak tanggung perbelanjaan atlet, saya sanggup korbankan wang saya untuk ke sana."

Sebelum ini Joseline pernah mewakili negara di Sukan Asia 2006 di Doha dan 2010 di Guangzhou. Sukan Asia 2018 dijadual berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September ini.

Semua atlet bertanding di bawah kategori A di Sukan Asia akan ditanggung sepenuhnya, manakala bagi kategori B pula perlu menanggung sendiri kos dan boleh menuntut semula perbelanjaan jika menang sekurang-kurangnya satu pingat gangsa.

Antara sukan yang mengemukakan rayuan untuk bertanding di bawah kategori A tetapi pemohonan mereka ditolak ialah bola sepak lelaki, badminton wanita, bola keranjang lelaki, bola baling, kabaddi, sepak takraw, menembak, renang berirama, ping pong, jet-ski dan ragbi.

 

Berita Harian X