Sabtu, 9 Jun 2018 | 4:46pm
WONG Weng Son akan mengetuai 15 atlet wushu negara yang akan beraksi di Sukan Asia Indonesia. - Foto Owee Ah Chun

Wushu tiada alasan lagi

 

KUALA LUMPUR: Skuad wushu tidak boleh memberi sebarang alasan lagi untuk gagal memenangi sebarang pingat pada Sukan Asia Indonesia, Ogos depan selepas kemarau podium pada edisi Incheon, empat tahun lalu.

Malah, keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menghantar semua tujuh atlet wushu menerusi tiket kategori A turut membuktikan betapa harapan tinggi diletakkan ke atas sukan itu.

Dengan menganggap keputusan itu sebagai satu cabaran, Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt, berjanji untuk memastikan atletnya membawa pulang pingat pada temasya kali ini.

"Sasaran wushu kali ini adalah menerusi tiga acara iaitu taijiquan, changquan dan nanquan dan sandaran sudah pasti terarah kepada Weng Son serta Yeap Wai Kin.

"Tetapi harus diingat, pertandingan Sukan Asia sedikit kritikal kerana keputusan acara ditentukan menerusi gabungan mata antara dua disiplin. Jadi, atlet perlu mempunyai mental kuat jika mahu memenangi pingat," katanya.

Hanya tujuh daripada 15 atlet wushu negara diluluskan beraksi oleh MOM di Jakarta nanti, diketuai jaguh utama, Wong Weng Son yang juga juara dunia dalam acara Jiangshu.

Selain Weng Son, skuad wushu lelaki negara akan turut dibarisi Wai Kin, Calvin Lee Wai Leong dan Loh Jack Chang yang turut berada dalam Program Podium.

Bagi wanita pula, Malaysia akan mempertaruhkan pemenang pingat Sukan SEA Myanmar 2013, Phhon Eyin, Audrey Chan dan Tan Cheong Min.

Sebagai rekod, Malaysia mengalami mimpi ngeri dalam acara wushu pada edisi Incheon empat tahun lalu, apabila pingat emas pertama dimenangi Tai Cheau Xue ditarik balik kerana masalah doping.

Skuad wushu negara selepas ini dijangka akan ke Macau bagi menghadapi kejohanan antarabangsa di sana, sebelum terbang ke Guangzhou, China sebagai latihan terakhir sebelum ke Jakarta.

Berita Harian X