Khamis, 7 Jun 2018 | 8:09pm
HOWARD LEE CHUAN HOW
HOWARD LEE CHUAN HOW

PKBM yakin UCI 'lulus' Velodrom Rakyat

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) optimis proses untuk mendapatkan kebenaran (homologation) daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mampu diselesaikan pada minggu pertama Ogos ini.

Ia sekali gus membuka ruang kepada acara trek untuk diteruskan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 22 September di Perak.

Menurut Naib Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh, pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How pagi tadi menghasilkan keputusan yang positif.

"Semalam beliau bertemu pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan pagi tadi, saya mengunjunginya dan beliau mahu homologation diselesaikan pada minggu pertama Ogos," kata Amarjit yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Perak (PCA).

"Jadi saya tidak melihat sebarang masalah kerana pihak kontraktor sedang melakukan beberapa penambahbaikan seperti yang diminta UCI. Pada masa yang sama, saya sedang mendapatkan tarikh tepat bagi membolehkan UCI memeriksa Velodrom Rakyat." katanya.

Pada Selasa Howard Lee yang meninjau Velodrom Rakyat dilaporkan berkata, acara trek SUKMA 2018 dibatalkan apabila mendakwa ia tidak selamat.

Bagaimanapun KBS yang diketuai Ketua Setiausaha Datuk Lokman Hakim Ali mengadakan pertemuan dengan Howard Lee semalam sekali gus mencapai kata sepakat acara trek tidak dibatalkan namun perlu mendapatkan homologation terlebih dulu.

Berita Harian X