Ahad, 3 Jun 2018 | 5:27pm
NASIRUDDIN WAN IDRUS
NASIRUDDIN WAN IDRUS

TSG landasan tepat capai tiga pasukan terbaik Jelajah Asia

KUALA LUMPUR: Terengganu Cycling Team (TSG) berada di landasan tepat untuk mencapai kedudukan tiga pasukan terbaik Jelajah Asia selepas berakhirnya Tour de Korea hari ini.

Pasukan benua dari Terengganu itu menduduki tempat ketiga terbaik di belakang UnitedHealthcare Pro Cycling Team dan Vino-Astana Motors dalam perlumbaan lima peringkat berstatus 2.1 itu.

"Kita turut mencapai sasaran apabila tiga pelumba TSG berada dalam senarai 20 terbaik dalam kategori individu keseluruhan sekali gus menambah mata pasukan dalam kedudukan Jelajah Asia.

"Berkemungkinan besar apabila kedudukan ranking dikemaskini dalam tempoh beberapa hari, TSG akan melonjak kepada kedudukan keempat iaitu naik satu anak tangga susulan pencapaian di Korea ini," jelas Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus.

Tambahnya, berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan pelumba, mereka kini mengintai peluang untuk menjadi tiga pasukan terbaik apabila musim berakhir pada Oktober nanti.

"Banyak lagi perlumbaan terutamanya berstatus 2.1 mampu memberikan mata yang tinggi kepada pasukan. Kita akan cuba sebaik mungkin," jelasnya.

Berita Harian X