Sabtu, 19 Mei 2018 | 9:01pm
AZIZULHASNI AWANG
AZIZULHASNI AWANG

Acara trek mungkin kembali ke Sukan SEA 2019

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengakui satu kerugian besar kepada negara apabila acara trek tidak dipertandingkan di Sukan SEA Manila, tahun depan.

   Pelumba trek negara diketuai Azizulhasni Awang mempamerkan dominasi di Sukan SEA 2017 apabila meraih 11 emas di Velodrom Nasional sekali gus membantu negara mencapai sasaran 111 emas dan muncul juara keseluruhan.

   "Saya tidak fikir ia disebabkan strategi dan atlet mereka tidak kuat. Wakil persatuan basikal mereka ada bertanyakan tentang penganjuran acara trek semasa hadir di Sukan SEA 2017 yang lalu.

   "Kita nampak kesungguhan mereka untuk menganjurkannya ketika itu. Namun saya fikir ia mungkin berkaitan dengan velodrom yang memerlukan kos yang tinggi untuk dibaik pulih. Mereka mempunyai sebuah velodrom terbuka di Manila seperti di Cheras," jelas Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab.

   Abu Samah yang juga Presiden Persekuan Persatuan Berbasikal Asean (ACA) bagaimanapun menjelaskan akan berhubung dengan persatuan kebangsaan Filipina bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.

   "Saya akan cuba bertanyakan punca sebenar dan sekiranya terdapat ruang untuk kembali dianjurkan, kita akan memberikan sokongan," katanya.

   Pada mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) kelmarin, hanya 30 jenis sukan disenaraikan dengan tiga lubuk emas Malaysia digugurkan iaitu trek, pencak silat dan boling padang.

   Bagaimanapun Malaysia serta negara lain yang bertanding mempunyai masa sehingga 13 Jun bagi mengemukakan cadangan atau sebarang penambahan acara.

Berita Harian X