Rabu, 18 April 2018 | 6:05pm
PENGARAH Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli (depan dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon (depan tiga kanan) dan Timbalan Pengarah Shimano, Eugene Koh (depan kanan) bersama dengan penaja pada majlis pelancaran TSG, RHB Shimano Highway Ride @ LEKAS 2018. - Foto Saifullizan Tamadi
PENGARAH Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli (depan dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon (depan tiga kanan) dan Timbalan Pengarah Shimano, Eugene Koh (depan kanan) bersama dengan penaja pada majlis pelancaran TSG, RHB Shimano Highway Ride @ LEKAS 2018. - Foto Saifullizan Tamadi

Perlumbaan malam RHB Shimano LEKAS 18 ogos

KUALA LUMPUR: Perlumbaan Malam Lebuh Raya LEKAS kembali lagi untuk edisi kelima pada 18 Ogos ini hasil kerjasama Kumpulan Perbankan RHB, Shimano Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS) dan Divisyen Tol IJM Corporation Berhad.

Acara ini dijangka disertai kira-kira 4,000 peserta dari pelbagai peringkat umur dengan jarak aksi kompetitif sejauh 120 kilometer iaitu pertambahan 15 kilometer berbanding tahun lalu.

 

Kedua-dua perlumbaan sejauh 120km dan 78km itu akan bermula dan berakhir di Plaza Tol Kajang Selatan manakala Terengganu Cycling Team (TSG) dilantik buat kali pertama menjadi duta acara berkenaan pada majlis pelancaran di Galeri IJM ICE Gallery di Pantai Sentral Park, di sini, semalam.

 

Kayuhan berkenaan bakal dimulakan dengan demonstrasi kayuhan sejauh dua kilometer yang disertai pelumba TSG, bersama pelumba muda Kelab Tri-Amatur Triathlon dan tetamu khas.

 

"Perlumbaan Malam RHB Shimano LEKAS 2018 adalah acara yang dinanti-nantikan dalam kalangan peminat berbasikal bukan saja di Malaysia namun seluruh rantau ini.

"Ini kerana ia adalah satu-satunya perlumbaan malam di lebuh raya tertutup. Ia juga mampu menarik minat pelumba muda seperti yang kita dapat lihat pada edisi lalu.

 

"Kita harap perlumbaan ini mampu menarik lebih ramai anak muda menyertai kedua-dua perlumbaan santai dan kompetitif ini untuk mewujudkan budaya sihat.

"Kami juga sangat berbangga dengan kehadiran pasukan TSG dan Kelab Tri-Amatur Triathlon," kata Pangarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli.

 Penutupan lebuh raya dan kawalan lalu lintas akan bermula pada jam 5 petang pada 18 Ogos hingga 3 pagi keesokan hari.

 

Kategori perlumbaan untuk 120km ialah terbuka (lelaki/wanita berumur 22 tahun dan ke atas), veteran (lelaki 45 tahun dan ke atas) dan korporat/terbuka berpasukan (lelaki/wanita 22 tahun dan ke atas).

 

Yuran penyertaan pula sebanyak adalah RM170 (bagi pendaftaran individu dan terawal pula RM150) atau RM2,000 untuk korporat/terbuka berpasukan.

 Bagi kategori 78km pula Terbuka (lelaki/wanita 22 tahun dan ke atas), veteran (lelaki 45 tahun dan ke atas) dan remaja (lelaki/wanita di antara 17 hingga 21 tahun).

 

Perlumbaan untuk kategori ini membabitkan yuran penyertaan sebanyak RM160 (RM140 untuk penyertaan awal), manakala IJM Land Berhad meneruskan tradisi menaja 100 peserta untuk kategori remaja buat tahun kelima berturut-turut.

 

Sementara itu, kayuhan santai yang membabitkan kategori 17km VIP (atas jemputan), 17km remaja (berumur 13 hingga 16 tahun) dan 12km kanak-kanak (berumur 10 hingga 12 tahun).

 

Kategori remaja dan kanak-kanak ditaja sepenuhnya oleh IJM, namun dikenakan deposit sebanyak RM20 untuk setiap peserta.

 

Penyertaan untuk perlumbaan dan kayuhan santai akan dibuka pada 13 Jun dengan peserta boleh mendaftar di laman web, www.lekashighwayride.my, manakala setiap peserta akan menerima jersi/kemeja-T, beg, nombor penyertaan, cip catatan masa, medal penamat perlumbaan, sijil elektronik dan minuman. 

Berita Harian X