Khamis, 22 March 2018 | 9:41pm
OVECHKIN (tengah) dari pasukan Terengganu Cycling Team, pemenang Jersi Raja Pecut Riccardo Minali (kiri) dari pasukan Astana Pro Team dan pemenang Jersi Pelumba Terbaik Asia Yevgeniy Gidich dari pasukan Astana Pro Team pada siri Jelajah Le Tour de Langkawi 2018 (LTdL) peringkat kelima dari Dataran Bentong ke Tanah Rata. -Foto BERNAMA
OVECHKIN (tengah) dari pasukan Terengganu Cycling Team, pemenang Jersi Raja Pecut Riccardo Minali (kiri) dari pasukan Astana Pro Team dan pemenang Jersi Pelumba Terbaik Asia Yevgeniy Gidich dari pasukan Astana Pro Team pada siri Jelajah Le Tour de Langkawi 2018 (LTdL) peringkat kelima dari Dataran Bentong ke Tanah Rata. -Foto BERNAMA

Ovechkin takluk Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) dari Russia, Artem Ovechkin mengungguli Peringkat 5 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 dari Bentong ke Cameron Highlands hari ini, sekali gus merampas jersi kuning pendahulu keseluruhan serta jersi polka dot Raja Bukit ketika saingan edisi ke-23 ini berbaki tiga peringkat.

Dianggap peringkat penentuan kerana pendakian sukar di kawasan tanah tinggi pelancongan itu, Ovechkin yang dilamar pasukan TSG kira-kira seminggu sebelum bermula jelajah terunggul Asia itu, menepati ciri-ciri yang diperlukan oleh pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu itu yang turut muncul sebagai pasukan terbaik.

Selain menyaksikan jersi kuning bertukar tangan buat kali keempat selepas lima peringkat, Ovechkin yang menjuarai jersi kuning dan memenangi satu peringkat di Jelajah Antalya, Turki sebelum hadir bersama TSG dalam LTdL, turut merampas jersi Raja Bukit, manakala jersi putih Pelumba Terbaik Asia turut bertukar tangan kepada pelumba Astana Pro Team dari Kazakhstan, Yevgeniy Gidich.

Pakar pecut Astana, Riccardo Minali masih mengekalkan jersi hijau Raja Pecut dengan 40 mata, 4 mata di depan Andrea Guardini (Bardiani-CSF).

Ovechkin, tiba di garisan penamat secara solo selepas berkayuh 169km dengan catatan 4 jam 24 minit 29 saat, meninggalkan pelumba tempat kedua dari St George Continental Cycling Team, Benjamin Dyball yang ketinggalan 28 saat, serta 55 saat di depan pelumba tempat ketiga dari Dimension Data, Amanuel Ghebreigzabhier.

Dia kini menduduki carta teratas kedudukan individu berpasukan dengan masa keseluruhan 21 jam 21 minit 34 saat, hanya 32 saat di depan Dyball dan 59 saat di depan pelumba Mitchelson Bikeexchange, Harrison Sweeny.

Segala-galanya bermula dengan tindakan Ovechkin untuk membuat pemecahan meloloskan diri ketika menghampiri zon pendakian di Ringlet dan walaupun cuba dikejar sekumpulan lapan pelumba lain, pelumba kelahiran Berdsk berusia 32 tahun itu yang suatu ketika berada 1 minit 40 saat, dapat mengekalkan kedudukannya untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat bagi peringkat dianggap penentuan itu.

"Ketika menghampiri zon pendakian pertama, saya meloloskan diri dan walaupun cuba dikejar beberapa pelumba, mereka gagal dan selepas itu saya hanya memberi tumpuan kepada rentak sendiri.

"Ini kemenangan manis dan terbesar dalam jelajah 2HC dalam karier saya dan lebih manis kerana menang dua jersi serentak. Tetapi masih ada 3 peringkat lagi dan saya pasti kami mampu mempertahankannya walaupun Peringkat 7 (Nilai-Muar) adalah peringkat yang panjang," kata Ovechkin.

Esok, LTdL 2018 diteruskan dengan Peringkat 6 yang landai dari Tapah ke Tanjung Malim sejauh 108.5km.

Berita Harian X