Selasa, 6 March 2018 | 5:51pm
PEMAIN bola jaring negara, An Najwa Azizan (dua dari kanan) ceria bersama rakan sepasukannya dari Kelab Bola Jaring GWS Fury.
PEMAIN bola jaring negara, An Najwa Azizan (dua dari kanan) ceria bersama rakan sepasukannya dari Kelab Bola Jaring GWS Fury.

'Beauty Killer' selesa bersama GWS Fury

KUALA LUMPUR: Hampir sebulan berhijrah di Australia, pemain bola jaring negara, An Najwa Azizan yang melakar sejarah sebagai pemain pertama negara beraksi di liga luar negara mula membiasakan diri dengan Kelab Bola Jaring GWS (Greater Western Sydney) Fury.

"Pada mulanya memang rasa pelik sikit kerana semua persekitaran baru, tetapi lama-lama saya rasa semakin selesa.

"Bagi saya, kita perlu melakukan perkara yang di luar zon selesa untuk memastikan diri menjadi lebih kuat, jadi perkara ini memang mencabar saya untuk keluar daripada zon selesa," katanya kepada NSTP di sini, hari ini. 

Sambil berkongsi gambar dengan rakan sepasukannya yang berpangkalan di New South Wales, Australia, An Najwa yang digelar 'Beauty Killer' berkata, dia menjalani latihan tiga kali seminggu pada setiap Isnin, Rabu dan Sabtu.

"Perbezaan paling ketara adalah kemudahan di sini jauh berbeza berbanding di Malaysia memandangkan sukan bola jaring sendiri adalah dalam A-list (paling popular) di Australia.  

"Jadi gelanggang bola jaring memang ada merata tempat," kata pemain berumur 21 tahun itu yang kini menangguhkan pengajian Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memenuhi impiannya memperoleh pengalaman beraksi di luar negara.

An Najwa berkata, intensiti permainan di sana juga berbeza serta mencabar dirinya untuk memberikan aksi terbaik pada setiap sesi latihan.

"Seperti yang saya katakan sukan bola jaring di sini adalah sukan teras dan dalam A-list, jadi kemudahan latihan semua adalah lengkap untuk menyokong pembangunan sukan ini. 

"Saya berharap benda seperti ini dapat membuka mata rakyat Malaysia terhadap sukan bola jaring yang sukan ini bukan calang-calang sukan. Sebenarnya sukan bola jaring ini adalah sukan yang popular di negara luar," katanya.

An Najwa ditawar kontrak bermain selama semusim bersama kelab divisyen dua di Australia, GWS Fury bagi persiapan menghadapi Liga Perdana Samsung yang bakal bermula Mei hingga September ini.

Australia sememangnya mempunyai pemain yang hebat dengan pasukan negara itu kini berada di ranking satu dunia.

Ketika ditanya perkara paling dirindui di tanahair ketika ini, Pemain Paling Bernilai (MVP) Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 di Bangkok itu berkata: "Semestinya orang tersayang iaitu keluarga dan juga rakan baik saya."

Info: 

Nama: An Najwa Azizan

Tarikh lahir: 9 Ogos 1997

Umur: 21 tahun

Tempat lahir: Ampang, Selangor

Tinggi: 175 sentimeter

Berat: 75 kg

Sukan: Bola Jaring

Posisi: Goal Shooter (GS)

Bapa: Azizan Azmi

Ibu: Norsila Jaafar

Adik beradik: Anak keempat daripada lima beradik. Mewarisi bakat bersukan daripada bapanya, bekas pemain ragbi kebangsaan.

Pendidikan: Sedang mengikuti Sarjana Muda Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) 

Pencapaian terbaik: 

Mengakhiri penantian 16 tahun pingat emas di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur

Mengakhiri kemarau 31 tahun muncul juara Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 dan dipilih sebagai 'Pemain Paling Bernilai' (MVP) 

Berita Harian X