Rabu, 21 Februari 2018 | 11:51pm
MOHD Samsunputra menyampaikan hadiah kepada pemenang PUF. - Foto Mohd Munzir Mustapha
MOHD Samsunputra menyampaikan hadiah kepada pemenang PUF. - Foto Mohd Munzir Mustapha
TALI pinggang kejuaraan menjadi rebutan dalam pertarungan PUF8 di Teluk Batik, Lumut baru-baru ini. - Foto Mohd Munzir Mustapha
TALI pinggang kejuaraan menjadi rebutan dalam pertarungan PUF8 di Teluk Batik, Lumut baru-baru ini. - Foto Mohd Munzir Mustapha
PESILAT wanita juga berpeluang bertarung dalam gelanggang PUF. - Foto Mohd Munzir Mustapha
PESILAT wanita juga berpeluang bertarung dalam gelanggang PUF. - Foto Mohd Munzir Mustapha

PUF medan tempur bebas pesilat

LUMUT: Aksi pesilat bertempur di gelanggang terbuka mungkin biasa, namun jarang sekali dilihat pendekar Melayu beraksi bebas dalam arena bertali atau 'ring' seperti digunakan untuk muay thai atau tinju.

Keseronokan bertempur, apatah lagi tanpa dibebani peraturan ketat itu, ditampilkan sebagai keunikan kejohanan Pusaka Ultimate Fight (PUF) anjuran Akademi Lekir dengan kerjasama Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM).

Memasuki edisi kelapan, PUF mengguna pakai konsep bertarung secara bebas dengan peserta hanya dilengkapi sarung tangan MMA, tanpa perlu memakai pelindung pada badan seperti digunakan ketika menyertai kejohanan silat olahraga.

Lebih unik, peserta dibenar menyerang mana-mana sasaran lawan termasuk mengguna pakai seni kuncian yang dipelajari berpandukan aliran silat masing-masing.

PESILAT beraksi bebas dalam arena bertali atau 'ring' seperti digunakan untuk muay thai atau tinju. - Foto Mohd Munzir Mustapha
PESILAT beraksi bebas dalam arena bertali atau 'ring' seperti digunakan untuk muay thai atau tinju. - Foto Mohd Munzir Mustapha

Pengasas PUF, Mohd Samsunputra Raja Abdul Majid, berkata kejohanan itu mula menjadi tumpuan apabila berjaya menarik ramai pesilat dari seluruh negara sejak edisi pertama diperkenalkan dua tahun lalu, dengan keunikan bertempur bebas menjadi antara tarikan utama.

"Kita tidak menolak pertandingan sedia ada seperti silat olahraga yang memang sudah menjadi acara pada peringkat antarabangsa...PUF lebih kepada membuka peluang bagi pesilat menggunakan kemahiran mereka dalam penggunaan teknik lain seperti kuncian yang dilarang (dalam kejohanan) selama ini.

 

"Dalam PUF, pesilat lebih bebas membuat serangan dan kebanyakan mereka menamatkan pertarungan dengan kuncian yang dipelajari dalam aliran masing-masing.

"Bertarung dalam 'ring' pula menjadikan pertandingan ini lebih menarik," katanya ketika ditemui selepas kejohanan itu di Teluk Batik di sini, baru-baru ini.

PESILAT dapat menggunakan pelbagai teknik secara bebas dalam pertarungan PUF. - Foto Mohd Munzir Mustapha
PESILAT dapat menggunakan pelbagai teknik secara bebas dalam pertarungan PUF. - Foto Mohd Munzir Mustapha

Samsunputra berkata, dalam tujuh edisi sebelum ini, pemenang dikalungkan pingat, tetapi melalui edisi kali ini pihak penganjur memperkenalkan hadiah berbentuk tali pinggang dan tengkolok sebagai mahkota pendekar seperti mana digunakan dalam beberapa pertandingan seni bela diri lain.

"Untuk edisi berikutnya sama ada di Terengganu, Sabah, Selangor atau Langkawi di Kedah, kita akan membawa pemenang tali pinggang kejohanan dari edisi kelapan untuk mempertahankan kejuaraan.

 

"Sekiranya pemenang mampu menang dalam dua edisi berturut-turut, tali pinggang itu akan menjadi miliknya secara mutlak dan diangkat sebagai 'Juara Antara Juara' dalam rekod penganjuran PUF," katanya.

Mengenai format penganjuran PUF, Samsunputra berkata ia bukan baharu, sebaliknya pernah dianjurkan bapanya, Datuk Dr Raja Abdul Raja Md Isa, sekitar 1970-an dan ketika itu formatnya lebih terbuka, yang mana pesilat bebas menyerang di mana saja tanpa memakai sebarang pelindung diri.

PESILAT dapat menggunakan pelbagai teknik secara bebas dalam pertarungan PUF. - Foto Mohd Munzir Mustapha
PESILAT dapat menggunakan pelbagai teknik secara bebas dalam pertarungan PUF. - Foto Mohd Munzir Mustapha

"Hanya empat kali saja format itu dapat diadakan sebelum diharamkan kerana dikatakan terlalu ganas. Justeru, saya ambil inisiatif menganjurkan PUF bersama Pengarah Urusan Akademi Lekir, Mohd Munzir Mustapha, dengan memasukkan beberapa peraturan bersesuaian bagi menjaga keselamatan peserta.

 

"Format baharu ini nampaknya mendapat perhatian ramai, sekali gus menjadikan akademi yang dibuka sejak 2016 di Ampang, Selangor di bawah kendalian saya bersama Munzir dapat diperluaskan ke banyak lokasi lain termasuk Shah Alam, Kedah dan Selangor.

 

"Akademi ini komited untuk meneruskan momentum menganjurkan kejohanan ini setiap tiga bulan sejak ia pertama kali dianjurkan di Gurun, Kedah pada 2016 kerana kami mahu silat dilihat dalam konteks lebih global dan tidak terlalu terikat dengan peraturan ketat," katanya.

Sementara itu, Munzir selaku tunjang utama penganjuran PUF, berkata pertandingan itu mampu melahirkan pesilat yang lebih berdisiplin serta memantapkan kemahiran diri dengan melatih pesilat supaya menjadi lasak, sekali gus dapat bertahan dari segi fizikal dan mental ketika berdepan lawan.

INFO:

Pusaka Ultimate Fight (PUF) 

  • Dianjurkan setiap tiga bulan
  • 8 edisi sudah dianjurkan dengan yang pertama di Gurun, Kedah pada 2016
  • Empat negeri merebut status tuan rumah edisi kesembilan PUF iaitu Terengganu, Sabah, Selangor dan Kedah.
Berita Harian X