Jumaat, 16 Februari 2018 | 2:33pm
DATUK Sabariah yakin kontinjen UiTM Melaka kali ini mampu raih tempat yang lebih baik. - Foto fail

UiTM Melaka sasar tiga terbaik KARISTA 2018

MELAKA: Kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka menyasarkan kedudukan di kelompok tiga terbaik pada Kejohanan Sukan Staf UiTM Malaysia (KARISTA) 2018, bermula 19 hingga 23 Februari ini di UiTM Kedah.

Rektor UiTM Melaka, Prof Madya Datuk Sabariah Mahat, berkata walaupun sekadar meraih tangga kempat musim lalu, namun ia bukan halangan buat kontinjen kali ini untuk meraih tempat yang lebih baik.

Katanya, rekod pencapaian menjuarai KARISTA 2016 mampu diulangi jika prestasi dalam setiap acara di pertandingkan berada pada tahap menyakinkan.

"Melaka menyertai sembilan acara daripada 13 kategori sukan yang dipertandingkan yang turut disertai UiTM Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Johor,  Shah Alam, Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bendera kontinjen di UiTM Alor Gajah di sini, yang turut dihadiri ketua kontinjen, Prof Madya Dr Mohd Rasdi Zaini.

Sementara itu, Rasdi berkata antara sasaran pingat emas, termasuk acara bola tampar lelaki dan wanita, bola sepak veteran dan bola jaring, selain pingat perak dalam beberapa acara seperti ping pong, larian Jerai, bola sepak senior dan badminton.

"Persiapan rapi kira-kira dua bulan lalu diharap mampu membuahkan hasil pada kejohanan kali ini walaupun menyedari saingan sengit daripada semua kontinjen bertanding.

"Kejohanan anjuran Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) UiTM dengan kerjasama UiTM Kedah ini menjadi medan terbaik membentuk pemain berbakat dan pentas mengeratkan hubungan antara warga UiTM," katanya.

Berita Harian X