Sabtu, 10 Februari 2018 | 11:08pm
PEMAIN UNIKL meraikan kemenangan muncul juara selepas menewaskan KLHC menerusi pukulan penalti 4-3 pada aksi final Liga Hoki Piala TNB 2018 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMAIN UNIKL meraikan kemenangan muncul juara selepas menewaskan KLHC menerusi pukulan penalti 4-3 pada aksi final Liga Hoki Piala TNB 2018 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

Hertzberger wira UniKL

KUALA LUMPUR: Tonggak import, Jeroen Dolf Hertzberger muncul wira Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selepas tolakan penalti terakhirnya mengesahkan kemenangan menerusi penentuan penalti 4-3, ke atas Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada aksi final Piala TNB, sebentara tadi.

Kemenangan itu juga adalah kejuaraan pertama diraih UniKL pada saingan Liga Hoki Malaysia, sementara KLHC gagal mengulangi kejayaan memenangi piala itu yang kali terakhir dimenangi pada 2013. 

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas berakhir 60 minit permainan.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berhati-hati dengan tiga pukulan sudut penalti yang diperolehi oleh UniKL serta dua untuk KLHC gagal disempurnakan dengan baik sekali gus menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Glenn Stewarts Turner akhirnya memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol padang untuk UniKL minit ke-33.

Bagaimanapun tiga minit kemudian, Jang Jonghyun tenang menyempurnakan penalti stroke untuk kembali meletakkan kedudukan seri 1-1.

UniKL berpeluang untuk berada di depan pada minit ke-50, tetapi tolakan Jeroen Dolf Hertzberger berjaya dinafikan penjaga gol KLHC, Roslan Jamaluddin. 

Perlawanan kemudian terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti yang memihak kepada UniKL.

Sementara itu, juara bertahan Piala TNB, Pasukan Hoki Terengganu (THT) gagal menebus kekecewaan tewas kepada UniKL di saingan separuh akhir apabila tewas 3-4 kepada TNB pada penentuan tempat ke-3/4. 

TNB di depan 2-1 selepas berakhir separuh masa pertama menerusi gol sumbangan Shello Silverius dan Mohamad Akhimullah masing-masing minit ke-7 dan 8 dengan Joaqin Menini merapatkan jurang untuk THT minit ke-25.

Bersambung di babak masa kedua, Mohamad Akhimullah menambah gol ketiga TNB minit ke-34, sebelum Muhammad Azrai Aizad mengukuhkan kedudukan dengan gol keempat minit ke-38. 

Gonzalo Peillat dan Menini kemudian masing-masing menyumbang gol kedua dan ketiga minit ke-51 dan 54.

Piala TNB

Final

KLHC 1 UniKL 1

(UniKL menang penentuan penalti 4-3)

Tempat ke-3/4

TNB 4 THT 3

Berita Harian X