Jumaat, 9 Februari 2018 | 4:03pm
PENYERANG UniKL, Jeroen Dolf Hertzberger mencabar barisan pemain KLHC yang cuba mengawal pergerakannya menjelang perlawanan final Piala TNB esok. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PENYERANG UniKL, Jeroen Dolf Hertzberger mencabar barisan pemain KLHC yang cuba mengawal pergerakannya menjelang perlawanan final Piala TNB esok. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Cubalah kawal saya: Hertzberger

 

BANGI: "Jika pemain lawan mahu mengawal ketat saya, mereka boleh mencubanya."

Demikian cabaran penyerang Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Jeroen Dolf Hertzberger kepada barisan pemain Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menjelang perlawanan final Piala TNB esok.

Jelas pemain yang pernah mengecapi kejayaan selaku naib juara Piala Dunia bersama Belanda pada tahun2014 itu, situasi berkenaan sedikit pun tidak mencetus resah buat dirinya, sebaliknya Hertzberger semakin bersemangat untuk membantu UniKL memenangi piala buat kali pertama.

"Saya sudah biasa dengan situasi seperti ini kerana ia banyak kali berlaku sepanjang karier saya. Apabila saya sering menjaringkan gol, pihak lawan mula memberikan kawalan ketat. Saya tidak kisah semua itu.

"Bagi saya apa yang penting sekarang adalah mempamer aksi sebaik mungkin untuk UniKL kerana pasukan ini sememangnya berhak untuk meraih trofi pertama mereka," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hoki Tengku Abdullah Shah di sini yang hampir siap sepenuhnya.

Hertzberger kini menduduki tangga kedua penjaring terbanyak dengan 12 gol, kurang tiga gol berbanding bintang Pasukan Hoki Terengganu (THT) dari Argentina, Gonzalo Peillat yang sudah meledak 15 gol.

Tidak seperti Peillat yang hanya mempunyai kepakaran dalam melakukan pukulan sudut penalti, Hertzberger dilihat mempunyai kelebihan selaku penyerang sekali gus mampu menjaringkan gol padang.

Ditanya adakah dia turut meletakkan sasaran peribadi untuk muncul penjaring terbanyak, pemain berusia 31 tahun itu menafikannya.

"Itu bukanlah objektif utama saya, malah saya sendiri tak tahu mengenainya sehinggalah anda memaklumkan kepada saya.

"Saya hanya mahu membantu pasukan untuk memenangi perlawanan esok kerana saya adalah seorang pemain yang tidak gemar berdepan kekalahan," katanya.

 

Piala TNB

Esok

Penentuan 3/4

TNB mln THT, 6 ptg

Final

KLHC mln UniKL, 8.30 mlm

* Padang 2, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil

Berita Harian X