Khamis, 8 Februari 2018 | 7:06pm
PRESIDEN Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Datuk Suraya Yaacob (dua kiri) bersalaman bersama atlet bola jaring kebangsaan, An Najwa (dua kanan) ketika sidang media pemain kebangsaan, An Najwa yang bakal mewakili kelab GWS Furry Netball Club untuk 2018 Liga Bola Jaring State New South Wales,Sydney Australia. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PRESIDEN Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Datuk Suraya Yaacob (dua kiri) bersalaman bersama atlet bola jaring kebangsaan, An Najwa (dua kanan) ketika sidang media pemain kebangsaan, An Najwa yang bakal mewakili kelab GWS Furry Netball Club untuk 2018 Liga Bola Jaring State New South Wales,Sydney Australia. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

An Najwa lakar sejarah bermain liga luar

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya membantu skuad bola jaring mengakhiri penantian 16 tahun untuk memenangi emas Sukan SEA di temasya Kuala Lumpur 2017, An Najwa Azizan melakar sejarah tersendiri apabila muncul pemain bola jaring pertama Malaysia yang beraksi di liga luar negara.

An Najwa yang digelar 'Beauty Killer' berusia 21 tahun itu mendapat tawaran untuk bermain bersama Kelab Bola Jaring GWS (Greater Western Sydney) Fury yang berpangkalan di New South Wales, Australia.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 di Bangkok itu yang akan bertolak ke bumi Kanggaru, Sabtu ini, ditawarkan bermain dalam Liga Perdana Samsung yang bakal bermula April dan berakhir pada September nanti.

"Ini adalah pengalaman yang baik buat saya dan memang menjadi impian saya untuk bermain di Australia apatah lagi ia adalah negara yang berada di ranking pertama dunia.

"Walaupun bermain dalam liga amatur, ia adalah sesuatu yang besar maknanya buat saya dan dengan peluang ini saya harap dapat memberi sinar baru buat masa depan bola jaring Malaysia. Jika saya boleh, mereka pun boleh lakukannya," katanya.

Bermain di posisi Goal Shooter (GS), An Najwa yang baru melanjutkan pengajian Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) tahun lalu juga terpaksa menangguhkan pengajiannya selama satu semester bagi memenuhi impian bermain di liga luar.

An Najwa yang memiliki ketinggian 179 sentimeter itu bagaimanapun turut menyuarakan kebimbangannya di Australia nanti.

"Secara fizikalnya, biarpun saya antara pemain paling tinggi di dalam skuad negara, saya masih lagi dikira rendah di Australia. Namun, saya akan berusaha lebih giat dan selebihnya tawakal kepada Allah," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Datuk Suraya Yaacob berkata, bekas jurulatih kebangsaan, Tracey Robinson memainkan peranan penting dalam usaha membawa An Najwa ke Australia.

"Ini adalah peluang bagi kelab lain di Australia untuk melihat kemampuan pemain negara. Jika dia (An Najwa) beraksi baik berkemungkinan besar pasukan liga utama pula akan mengambil dia selepas ini," katanya.

Berita Harian X