Rabu, 7 Februari 2018 | 10:53pm
PEMAIN Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) meraikan gol ketika menentang pasukan TNB menerusi Piala TNB 2018. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PEMAIN Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) meraikan gol ketika menentang pasukan TNB menerusi Piala TNB 2018. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KLHC, UniKL berentap di final Piala TNB

KUALA LUMPUR: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) terpaksa menempuh detik mendebarkan sebelum mara ke final Piala TNB, Sabtu ini dengan menewaskan TNB menerusi penentuan penalti 8-7 pada separuh akhir kedua di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Kedua-dua pasukan terikat 6-6 secara agregat selepas KLHC menang tipis 4-3 hari ini, memadam kelebihan TNB yang menang 3-2 pada separuh akhir pertama, Ahad lalu.

Kegagalan penyerang TNB, Firhan Ashaari menyempurnakan penentuan penalti terakhir menyaksikan KLHC memenangi perlawanan itu.

Ketua jurulatih, Lim Chiow Chuan nyata lega dengan kemenangan itu selepas sedikit gusar melihat pemainnya tumpul dalam menyempurnakan pukulan sudut penalti.

"Memang pukulan sudut penalti kami agak tumpul hari ini dan kami tidak berjaya menyempurnakan banyak peluang menerusinya.

"Inilah yang mencetus tekanan buat kami. Mujur setiap pemain kekal tenang dan melakukan tugas masing-masing dengan baik," katanya.

Chiow Chuan mengakui tidak melihat ketika perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.

"Ada sejarahnya mengapa saya tak melihat pukulan penalti dan ia tidak perlu dikongsikan. Mungkin saya akan melihatnya menerusi rakaman video selepas ini," katanya.

Dengan kemenangan itu, KLHC akan bertemu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada aksi final Sabtu ini. UniKL mara ke final selepas menang menerusi agregat 6-3 ke atas juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) meskipun sekadar seri 2-2 pada separuh akhir kedua, hari ini.

KLHC banyak mensia-siakan peluang terhidang pada babak pertama apabila hanya menyempurnakan dua pukulan sudut penalti daripada lapan yang diperoleh.

Syed Syafiq Syed Cholan meletakkan TNB di depan terlebih dulu menerusi sudut penalti pada minit ke-11 sebelum Thomas Carson dan Jang Jong Hyun masing-masing menyumbang gol, juga hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-15 dan 24.

Penyerang KLHC, Syamim Yusof menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-30 selepas berjaya mencari ruang dalam kawasan D.

Bersambung babak kedua, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil merapatkan jurang menerusi sudut penalti pada minit ke-38 sebelum Syed Syafiq kembali menyamakan kedudukan juga hasil pukulan sudut penalti dua minit kemudian.

Razie Rahim akhirnya kembali meletakkan KLHC di depan pada minit ke-56 selepas menyempurnakan sudut penalti sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Berita Harian X