Isnin, 5 Februari 2018 | 7:05pm
PERENANG kebangsaan, Caroline Zi Xi Chan sumbang dua emas dan memecahkan satu rekod kejohanan dalam acara 50 meter kuak lentang selain meraih emas dalam acara 4x100m gaya bebas. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PERENANG kebangsaan, Caroline Zi Xi Chan sumbang dua emas dan memecahkan satu rekod kejohanan dalam acara 50 meter kuak lentang selain meraih emas dalam acara 4x100m gaya bebas. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Caroline perenang terbaik Sukipt

KUALA LUMPUR: Turun selaku perenang kebangsaan bukan tiket mudah buat Caroline Chan memburu pingat emas.

Bagaimanapun, pengalaman nyata memihak kepada perenang dari Kolej Universiti Sunway itu apabila muncul perenang terbaik Sukan Institut Pendidikan Tinggi Malaysia (SUKIPT).

Pada hari terakhir acara renang semalam, Caroline menyumbang dua emas dan memecahkan satu rekod kejohanan dalam acara 50 meter kuak lentang selain meraih emas dalam acara 4x100m gaya bebas.

Ia adalah pencapaian terbaik buat atlet berusia 22 tahun itu di SUKIPT dengan pencapaian empat emas individu dan dua emas dalam acara berganti-ganti.

Malah, ia menjadi tonik berharga buat dirinya apabila menjadi perenang tunggal wanita negara yang akan beraksi di temasya Komanwel Gold Coast, April ini.

Bagi Caroline, kejayaannya di SUKIPT amat membanggakan kerana dia hanya menyasarkan tiga emas dalam acara kegemarannya iaitu kuak lentang dan langsung tidak menyangka turut berupaya meraih emas dalam acara gaya bebas.

"Kejayaan di SUKIPT ini satu bonus dan saya gembira dapat mengatasi sasaran tiga emas.

"Tumpuan saya selepas ini adalah Komanwel. Di Komanwel nanti saya akan beraksi dalam acara 50m kuak lentang dan berharap mampu layak hingga separuh akhir dan ia bukan satu yang mustahil," katanya yang hanya akan berlatih di dalam negara sebagai persiapan ke Komanwel.

Acara renang di SUKIPT menutup tirai dengan sembilan rekod baru berjaya dihasilkan pada hari terakhir kejohanan.

Universiti Taylor dinobatkan selaku juara keseluruhan acara renang selepas mengumpul 12 emas, sembilan perak dan sembilan gangsa manakala Kolej Universiti Sunway di kedudukan kedua (11 emas, 8 perak, 12 gangsa) diikuti Universiti Putra Malaysia (6 emas, 5 perak, 5 gangsa).

Berita Harian X