Ahad, 4 Februari 2018 | 11:52pm
PEMAIN UniKL meraikan kemenangan ke atas THT pada aksi separuh akhir pertama Piala TNB di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PEMAIN UniKL meraikan kemenangan ke atas THT pada aksi separuh akhir pertama Piala TNB di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Kejutan UniKL, hampiri aksi final

KUALA LUMPUR: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memperoleh bekalan selesa menjelang aksi separuh akhir kedua Piala TNB, Rabu ini selepas mencatat kemenangan 4-1 ke atas Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada aksi separuh akhir pertama, hari ini.

Keputusan mengejut ke atas THT yang baru saja dinobatkan selaku juara Liga Perdana, Jumaat lalu itu juga menamatkan badi keputusan seri membabitkan kedua-dua pasukan di saingan liga sebelum ini.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj bagaimanapun tidak mahu anak buahnya meraikan kejayaan itu kerana masih ada baki 60 minit permainan yang bakal dihadapi mereka apabila bertemu THT di separuh akhir kedua, Rabu ini.

"Saya memang tidak menjangkakan keputusan ini. Apapun, untuk ke final kami perlu mengharungi 120 minit permainan dan kini baru mengharungi separuh daripadanya.

"Kami perlu manfaatkan sepenuhnya tempoh rehat selama tiga hari dan kembali fokus kepada perlawanan separuh akhir kedua," katanya.

PEMAIN UniKL, Muhammad Hafiz Zainol (kanan) mengawal bola pada aksi separuh akhir pertama Piala TNB menentang THT di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PEMAIN UniKL, Muhammad Hafiz Zainol (kanan) mengawal bola pada aksi separuh akhir pertama Piala TNB menentang THT di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Arul memuji kesungguhan setiap pemainnya terutama enam pemain import yang mempamerkan aksi berkualiti.

"Mereka semua sangat bersungguh-sungguh untuk mencatatkan kemenangan pada hari ini dan kami sememangnya berhak untuk memenangi perlawanan ini," katanya.

UniKL mempamerkan aksi meyakinkan sejak dari awal permainan dan mereka tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti yang dihadiahkan minit ke-13 disempurnakan oleh Kieran Ian Govers.

Separuh masa kedua menyaksikan aksi konsisten UniKL dan kali ini, Jeroen Dolf Hertzberger mengukuhkan kedudukan menerusi gol padang minit ke-32.

Ketika THT berhempas pulas untuk merapatkan jurang, UniKL memperoleh gol ketiga menerusi Glenn Stewarts Turner yang menerima hantaran cantik dari Muhamad Hafiz Zainol.

Mendahului 3-0, UniKL tidak memperlahankan rentak permainan, sebaliknya Hertzberger menghadiahkan gol keempat pada minit ke-48 hasil pukulan sudut penalti.

THT akhirnya memperoleh gol tunggal selepas Joaqin Menini bijak mencari ruang di dalam kawasan D pada minit ke-51.

Berita Harian X