Sabtu, 3 Februari 2018 | 6:31pm
JUARA dunia keirin, Azizulhasni Awang akan mengetuai cabaran Malaysia bersama 70 atlet negara pada Kejohanan Lumba Basikal Asia yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 20 Februari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
JUARA dunia keirin, Azizulhasni Awang akan mengetuai cabaran Malaysia bersama 70 atlet negara pada Kejohanan Lumba Basikal Asia yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 20 Februari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

PKBM optimis ACC 2018 dapat sambutan hangat

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) optimis sambutan penonton tetap menggalakkan walaupun Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional dikenakan tiket.

Edisi ke-38 ACC berkenaan yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 20 Februari akan dikenakan tiket berharga RM20 setiap individu.

"Saya fikir ia tidak akan menjejaskan kehadiran penonton kerana mereka berpeluang menyaksikan perlumbaan yang lebih hebat dan sengit berbanding Sukan SEA tahun lalu.

"Perlumbaan akan lebih menarik. Kuasa besar Asia yang lain seperti pelumba Korea Selatan, China, Kazakhstan dan negara lain akan bersaing kali ini," jelas Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab.

Juara dunia keirin, Azizulhasni Awang akan mengetuai cabaran Malaysia bersama 70 atlet negara dengan saingan kategori remaja dan para cycling turut berlangsung serentak.

Antara pelumba handalan lain yang dijadual beraksi adalah pemenang emas pecut berpasukan Sukan Asia 2014, Im Chaebin dari Korea Selatan serta dua pelumba handalan Jepun, Kanazuri Watanabe dan Tomoyuki Kawabata.

Juara dunia, Lee Wai Sze menjadi tarikan bagi kategori wanita serta dijangka menjadi pencabar sengit pelumba negara, Fatehah Mustapa melakar kejayaan.

ACC 2018 membabitkan penyertaan 429 atlet dari 22 negara yang sudah mengesahkan penyertaan.

Berita Harian X