KUALA TERENGGANU: Juara Piala TNB empat kali berturut-turut, Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas menumbangkan Maybank 2-1, dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk, sebentar tadi.
Kemenangan meletakkan skuad naib juara musim 2017 itu semakin menghampiri trofi kejuaraan ketika saingan cuma berbaki dua lagi perlawanan, bertemu TNB Thunderbolt pada 31 Januari dan aksi terakhir bertemu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada 2 Februari di Stadium Hoki Kuala Lumpur.
"Walaupun agak sukar untuk memburu gol kerana lawan lebih banyak bertahan, tetapi tiga mata yang dapat dikutip pada malam ini cukup bermakna buat pasukan kami," kata jurulatih THT, Sarjit Singh.
Terdahulu, Maybank yang bermula garang mendahului tuan rumah melalui jaringan padang cantik oleh Mohamad Faid Farhad Mohamad Shah pada minit ke-15.
Selepas jaringan itu, anak buah Sarjit Singh yang bagaikan terlena bangkit untuk memburu jaringan penyamaan, namun empat pukulan sudut penalti yang diperolehi tuan rumah menerusi pakar sudut penalti dunia, Gonzalo Peillat dan Faizal Saari gagal memecah kebuntuan jaringan.
Bersambung di suku ketiga perlawanan, kedua-dua pasukan saling mengatur serangan untuk menambah jaringan, tetapi penyudah lemah menggagalkan gerakan berkenaan.
Usaha berterusan skuad THT akhirnya membuahkan hasil apabila Peillat berjaya memecah kebuntuan dengan gol penyamaan pada minit ke-35, menerusi pukulan sudut penalti, sekaligus yang berjaya merobohkan kekebalan penjaga gol import lawan, Hayward Leon Kayne.
Tiga minit berselang, Peillat sekali lagi membuktikan ketajamannya melalui pukulan sudut penalti apabila meledak jaringan kedua peribadinya dan pasukan untuk mengukuhkan kedudukan.
Selepas jaringan itu skuad THT semakin ghairah apabila terus menggandakan asakan untuk menambah jaringan, tetapi kekebalan benteng pertahanan pelawat menyaksikan THT hanya merakam mencatat kemenangan tipis 2-1.
Liga Hoki Malaysia (MHL)
Liga Perdana
Keputusan
TNB 6 TNB Thunderbolts 0
UniKL 1 KLHC 3
THT 2 Maybank 1
Jadual Rabu
KLHC mln TNB, 5 ptg
(Stadium Hoki Kuala Lumpur)
TNB Thunderbolts mln THT, 6 ptg
UniKL mln Maybank, 8.30 mlm
(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)
Kedudukan
P M S K J B Mt
THT 8 5 3 0 22 9 18
KLHC 8 5 2 1 29 12 17
TNB 8 5 1 2 21 12 16
UniKL 8 3 3 2 23 13 12
TNB Thunderbolts 8 1 0 7 6 35 3
Maybank 8 0 1 7 8 28 1