Rabu, 24 Januari 2018 | 7:57pm
PEMAIN THT, Faizal Saari (kanan) diasak pemain UNIKL, Muhammad Najmi Farizal Jazlan (kiri) pada Perlawanan Liga Hoki Piala Malaysia THT lawan UNIKL di Stadium Hoki Batu Buruk. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
PEMAIN THT, Faizal Saari (kanan) diasak pemain UNIKL, Muhammad Najmi Farizal Jazlan (kiri) pada Perlawanan Liga Hoki Piala Malaysia THT lawan UNIKL di Stadium Hoki Batu Buruk. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

THT gagal raih tiga mata

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) terlepas peluang meraih tiga mata apabila diikat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 1-1 dalam saingan Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Burok, sebentar tadi.

Sebaik permainan bermula, anak buah Sarjit Singh sudah diasak pelawat yang bermula garang menerusi pukulan Joel Samel van Huizen namun dihalang penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman pada minit kedua.

Tiga minit kemudian, giliran THT mengasak kubu UniKL menerusi gerakan kapten, Mohd Fitri Saari namun Ammad Shakeel Butt gagal menyambar bola hantaran pemain tengah kebangsaan itu.

Tuan rumah terlepas peluang keemasan menjaringkan gol apabila gerakan sama gagal disudahkan Muhammad Sufi Ismat pada minit kelapan.

Rentak THT seakan kurang menjadi menyaksikan UniKL yang dibimbing Arul Anthoni lebih banyak menguasai permainan dengan gerakan berbahaya, namun dua peluang dimiliki Muhamad Hafiz Zainol dan Jeroen Dolf Herlzberger pada suku kedua digagalkan Hafizuddin.

Separuh masa kedua bersambung, THT dilihat mula merubah rentak permainan mereka dengan melancarkan gerakan memburu jaringan, namun penjaga gol UniKL, David John Harte cemerlang mengawal benteng terakhir pasukan itu.

Usaha gigih THT memperolehi jaringan akhirnya membuahkan hasil menerusi gol padang penyerang sensasi mereka, Faizal Saari minit ke-34. Pada minit ke-40, pelawat hampir menyamakan kedudukan menerusi Rafizul Ezry Mustafa tetapi Hafizuddin berjaya menepis keluar pukulan di depan gawang THT.

Begitupun, hasrat THT meraih tiga mata terkubur apabila Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin menjadi penyelamat UniKL daripada mengalami kekalahan hasil gol padang pada minit ke-51.

Berita Harian X