Isnin, 22 Januari 2018 | 8:52pm
KETUA Jurulatih skuad negara, Mohd Johari Nayan (kanan) memberikan penerangan kepada pasukan pelumba basikal paralimpik negara yang sedang menjalani latihan bagi persediaan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KETUA Jurulatih skuad negara, Mohd Johari Nayan (kanan) memberikan penerangan kepada pasukan pelumba basikal paralimpik negara yang sedang menjalani latihan bagi persediaan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

29 pelumba para Malaysia sertai ACC 2018

NILAI: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menghantar 29 pelumba basikal para lelaki dan wanita bertanding di Kejohanan Lumba Basikal Trek Para Asia (ACC 2018) di Valedrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, pada 16 hingga 20 Februari ini.

Jurulatih basikal para kebangsaan, Mohd Johari Nayan, menegaskan tujuan utama PKBM menghantar ramai pelumba bagi membolehkan atlet para kebangsaan memunggut sebanyak mungkin mata untuk kelayakan ke Sukan Para Asia 2018 dan Sukan Paralimpik 2020 serta memburu jersi putih selaku 'Juara Asia 2018'

Malah, Mohd Johari melahirkan keyakinan bahawa pelumba basikal para, Muhammad Afiq Afify Rizan (Afify) dan jurumudinya, Muhammad Khairul Adha Rasol mampu memenangi ' Jersi Juara Asia' dalam acara tandem di ACC 2018 itu nanti.

"Dalam acara individu kita jangkakan pelumba Malaysia akan dicabar sengit oleh pelumba Jepun, Iran dan Iraq kerana mereka lebih lama berlumba dalam acara para berbanding atlet tempatan.

"Jepun bukan setakat memilik ramai pelumba bertaraf antarabangsa, malah seorang pelumba mereka pernah memenangi jersi pelangi dan bergelar juara dunia," katanya ketika ditemui selepas meninjau sesi latihan pelumba basikal para di Valedrom Nilai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Johari berkata Malaysia dijangka berdepan saingan sengit dari pelumba Jepun dalam kategori C2 kerana mereka memiliki pelumba bertaraf dunia.

Sebelum ini media melaporkan ACC 2018 di Velodrom Nasional, Nilai dari 16 hingga 20 Februari ini mendapat sambutan hangat apabila lebih separuh ahli gabungan sudah mengesahkan penyertaan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab dalam satu kenyataan, mengesahkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan India menjadi dua negara terbaru mengesahkan penyertaan menjadikan 22 negara daripada 42 ahli gabungannya mengambil bahagian kali ini.

Kejohanan peringkat elit berkenaan memasuki edisi ke-48 dengan negara kuasa besar lain seperti Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong dan Kazakhstan sudah mengesahkan penyertaan.

Pada masa sama, ia turut mempertandingkan edisi ke-25 bagi kategori remaja dan paracycling buat kali ketujuh dengan keseluruhan dijangka membabitkan lebih 500 pelumba.

Berita Harian X