Ahad, 21 Januari 2018 | 9:16pm
PEMAIN UniKL, Glenn Stewarts Tunner (kanan) diasak pemain THT, Pablo Javier Trevisan (tengah) pada aksi Liga Perdana 2018 di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PEMAIN UniKL, Glenn Stewarts Tunner (kanan) diasak pemain THT, Pablo Javier Trevisan (tengah) pada aksi Liga Perdana 2018 di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Zulfadhli Zulkifli

11 layangan kad cemari aksi UniKL,THT

KUALA LUMPUR: Layangan lapan kad kuning dan tiga kad hijau mencemari aksi Liga Perdana antara Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan UniKL yang berkesudahan 2-2 di Stadium Hoki Bukit Jalil, sebentar tadi.

Nyata kutipan kad lebih mencuri tumpuan pada aksi terbabit sehingga menyaksikan THT terpaksa beraksi dengan tiga pemain pada suku keempat selepas pengadil melayangkan kad kuning ke atas Lopez Barreiros, Gonzalo Peillat dan Moritz Erhard.

PEMAIN THT, Moritz Erhard (kiri) dikekang pemain UniKL, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada aksi Liga Perdana 2018 di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PEMAIN THT, Moritz Erhard (kiri) dikekang pemain UniKL, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada aksi Liga Perdana 2018 di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Malah, aksi tegang kedua-dua pasukan turut memaksa pengadil perlawanan R Anbanathan dan Eric Koh melayangkan kad kuning kepada lima pemain UniKL sekali gus kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata.

Pengendali UniKL, Arul Selvaraj yang jelas tidak berpuas hati dengan jumlah layangan kad kuning pada aksi kelima Liga Perdana itu bagaimanapun mengelak untuk memberi sebarang komen.

"Saya perlu melihat terlebih dahulu ulang tayang video perlawanan tadi. Memang ia (layangan kad kuning) itu menjejaskan corak permainan kedua-dua pasukan tetapi keputusan itu juga ada yang berpunca daripada kekasaran pemain.

"Apapun bagi saya keputusan seri ini amat berbaloi bagi kami kerana UniKL tidak pernah menang ke atas THT sejak pasukan itu membuat kemunculan dalam liga," katanya.

Terdahulu, Faizal Saari muncul penyelamat skuad kendalian Sarjit Singh apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-43 selepas meletakkan THT di depan seawal minit kesembilan.

Dua gol UniKL pada aksi terbabit dijaringkan penyerang import dari Belanda Jeroen Hertzberger pada minit ke-17 dan 18 dengan penjaga gol Ireland David Harte turut bertindak cemerlang menafikan lebih enam percubaan berbahaya THT.

Mengulas mengenai persembahan Hertzberger, Arul ternyata gembira dengan prestasi awang importnya itu yang membuktikan ketajaman apabila sudah menyumbat lapan gol daripada lima perlawanan untuk memintas bintang THT Gonzalo Peillat (tujuh gol) sebagai penjaring terbanyak liga.

"Memang kita banyak bergantung kepada pukulan sudut penalti Hertzberger seperti mana THT bergantung kepada Peillat tambahan pula dia adalah seorang penyerang sekali gus memberi kelebihan kepadanya untuk menjaringkan gol dalam perlawanan," tambah Arul.

Sementara itu, juara bertahan KLHC terus menghambat kedudukan pendahulu apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut dengan menjinakkan TNB Thunderbolts 7-0 dalam aksi di Stadium KLHA.

Penyerang import Korea Selatan, Lee Nam Yong muncul wira apabila meledak hatrik masing-masing menerusi percubaan padang pada minit ke-11, 20 dan 41 untuk mengumpul keseluruhan empat gol.

Empat lagi gol KLHC dihasilkan Thomas Carson pada minit kesembilan, Jang Jonghyun (24), Dedy Ariyadi Jumaidi (30) dan Matthew Willis (42).

Keputusan

KLHC...7 TNB T'bolts...0

UniKL...2 THT...2

Berita Harian X