Jumaat, 19 Januari 2018 | 11:00pm
PENGURUS Besar Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Osman Nok yakin pesilat mampu bawa pulang ksekurang-kurangnya dua pingat emas. - Foto Saifullizan Tamadi
PENGURUS Besar Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Osman Nok yakin pesilat mampu bawa pulang ksekurang-kurangnya dua pingat emas. - Foto Saifullizan Tamadi

Pesilat mampu sumbang 2 emas

KUALA LUMPUR: Sekalipun menyedari saingan sengit dan tambahan pula dengan provokasi penonton pada Sukan Asia di Jakarta dan Palembang Ogos depan, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) tetap percaya mampu membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat emas.

Pengurus Besar PESAKA, Datuk Osman Nok berkata, pihaknya memberi bayangan itu ketika perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) yang diadakan hari ini.

Beliau berkata, antara pesilat yang dijangka mampu menyumbangkan emas itu ialah juara dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari dalam Kelas Putra E membabitkan berat badan 65 hingga 70kg, Siti Rahmah Mohamed Nasir (Kelas Puteri D/60-65kg) serta Muhammad Robial Sobri (Kelas Putra H/80-85kg).

"Seperti biasa apabila bertanding di Indonesia, penonton yang hadir memang ramai dan pengadilannya sedikit berat sebelah.

"Kita sebenarnya sudah bersedia menghadapi situasi demikian kerana sudah sertai Kejohanan Dunia dan Sukan SEA di sana banyak kali. Persediaan kita memang rapi daripada segi mental dan fizikal termasuk menghadapi provokasi penyokong tuan rumah," katanya selepas mesyuarat itu.

Osman berkata, pihaknya juga gembira kerana Institut Sukan Negara (ISN) sedia membantu persiapan yang menyaksikan sukan seni mempertahankan diri itu dipertandingkan pertama kali pada temasya berkenaan.

"ISN bersetuju bantu kita bermula program pertama iaitu Latihan Khas di Pulau Pangkar bermula esok hingga 6 Februari serta semua perkhidmatan yang kita perlukan termasuk urutan, analisa perlawanan, pemakanan dan sebagainya sehinggalah ke Sukan Asia nanti," katanya.

Katanya, skuad silat yang terdiri daripada lapan atlet Program Podium dan tujuh atlet senior kebangsaan akan disenaraikan untuk menyertai 13 daripada 16 kategori dipertandingkan.

"Sebanyak 10 kategori tanding serta enam kategori silat seni dipertandingkan namun setiap negara peserta mempunyai kuota untuk menyertai tiga kategori sahaja dalam kategori silat seni," katanya.

Menjelang temasya itu, Osman berkata, pihaknya juga menghantar pesilat menyertai kejohanan praujian yang diadakan di gelanggang sebenar iaitu di Padepokan Pencak Silat Indonesia, Jakarta dari 8 hingga 18 Februari ini.

Berita Harian X