Ahad, 14 Januari 2018 | 11:12pm
 PEMAIN Terengganu Hockey Team (THT), Gorzalo Peillat mengawal bola (kanan) sambil diasak pemain, TNB Thunderbolt, Amir Farid (kiri) pada aksi perlawanan Liga Hoki Malaysia (TNB/MHL) 2018 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Batu Burok. - Foto Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu Hockey Team (THT), Gorzalo Peillat mengawal bola (kanan) sambil diasak pemain, TNB Thunderbolt, Amir Farid (kiri) pada aksi perlawanan Liga Hoki Malaysia (TNB/MHL) 2018 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Batu Burok. - Foto Ghazali Kori

Hatrik Peillat lonjak THT

KUALA TERENGGANU: Jaringan hatrik Gonzalo Peillat membantu Pasukan Hoki Terengganu (THT) meraih kemenangan bergaya 6-2 menewaskan TNB Thunderbolt dalam saingan Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Burok, sebentar tadi.

Begitupun, pelawat yang tidak menggunakan awang import terlebih dulu mengejutkan tuan rumah menerusi gol padang Arif Sabrom yang menewaskan Muhammad Hafizuddin Othman pada minit ke-6.

THT bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi pakar pukulan sudut penalti dunia dari Argentina, Peillat minit ke-17.

Tiga minit berselang, THT menambah gol kedua hasil tolakan Muhammad Sufi Ismat berpunca pukulan sudut penalti Faizal Saari.

Pada suku ketiga permainan, Peillat mengukuhkan jaringan buat tuan rumah apabila mudah menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-34.

Anak buah Muhammad Amin Rahim cuba memberi tentangan sengit kepada THT, namun gagal bertahan apabila gawang mereka dihukum menerusi gol padang Luqman Nur Hakim Ahmad Shukran minit ke-43.

TNB Thunderbolt akhirnya berjaya memperoleh jaringan kedua mereka menerusi pukulan penalti yang diambil Muhammad Azammi Adabi minit ke- 52.

Pada minit ke-56, pemain import kelahiran Argentina, Joagin Menini mencetak nama sebagai penjaring kelima hasil gol padang sebelum Peillat melengkapkan hatrik menerusi pukulan sudut penalti seminit sebelum permainan tamat.

Berita Harian X