Khamis, 11 Januari 2018 | 7:36pm
PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab sahkan penyertaan terakhir dari UAE dan India. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab sahkan penyertaan terakhir dari UAE dan India. - Foto Hasriyasyah Sabudin

22 negara sah sertai ACC

KUALA LUMPUR: Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai dari 16 hingga 20 Februari ini mendapat sambutan hangat apabila lebih separuh ahli gabungan sudah mengesahkan penyertaan.

Perkembangan berkenaan disahkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan India menjadi negara terakhir yang mengesahkan penyertaan.

"Jadi, secara keseluruhan terdapat 22 negara yang bersaing di Nilai nanti. Walaupun Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) mempunyai 42 ahli gabungan, tidak semua negara mempunyai pelumba trek," jelasnya.

Kejohanan peringkat elit berkenaan memasuki edisi ke-48 dengan negara kuasa besar yang lain seperti Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong dan Kazakhstan sudah mengesahkan penyertaan selain Malaysia yang bakal mempertaruhkan juara keirin dunia 2017, Azizulhasni Awang.

Pada masa sama, ia turut mempertandingkan edisi ke-25 bagi kategori remaja dan paracycling buat kali ketujuh dengan keseluruhan dijangka membabitkan lebih 500 pelumba.

Sementara itu, Abu Samah turut menjelaskan pihaknya bercadang untuk mengenakan tiket kepada penonton yang mahu menyaksikan perlumbaan terbesar di Asia berkenaan.

"Kami masih meneliti harga tiket namun ia tidak terlalu mahal kerana matlamat adalah untuk menarik penonton sebanyak mungkin memenuhi Velodrom Nasional terutamanya dalam memberi sokongan kepada pelumba negara," tambahnya.

ACC adalah kejohanan kedua terbesar berlangsung di Velodrom Nasional selepas Sukan SEA Ogos tahun lalu dengan penonton dikenakan tiket serendah RM10 sehingga RM20.

Berita Harian X