Ahad, 7 Januari 2018 | 10:09pm
PEMAIN KLHC menjulang piala selepas menjuarai Hoki Final Piala Tan Sri P Alagendra yang diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PEMAIN KLHC menjulang piala selepas menjuarai Hoki Final Piala Tan Sri P Alagendra yang diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KLHC juara Piala Tan Sri P Alagendra

Bukit Jalil: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) muncul juara Piala Tan Sri P Alagendra selepas menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 4-3 menerusi pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam masa permainan sebenar aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kegagalan Manraj Singh, Fitri dan abangnya, Faizal Saari pada penentuan penalti menafikan hasrat THT untuk mempertahankan kejuaraan.

Terdahulu, dalam tempoh 11 minit pertama, THT nyata lebih garang apabila mendahului dua gol, masing-masing menerusi bintang import dari Argentina, Gonzalo Peillat pada minit ke-10 dan Manraj Singh (m-11), kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti.

PEMAIN Terengganu Hokey Team, Mohd Fitri Saari (kanan) mengasak Pemain KLHC pada TNB Malaysian Hockey League 2018 yang diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PEMAIN Terengganu Hokey Team, Mohd Fitri Saari (kanan) mengasak Pemain KLHC pada TNB Malaysian Hockey League 2018 yang diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Situasi itu seakan mengejutkan 'lena' KLHC namun deretan peluang terhidang gagal disudahkan dengan sempurna.

Bagaimanapun, kedudukan kembali seimbang selepas KLHC meraih dua gol menerusi Jang Jonghyun pada minit ke-16 dan Mohd Samim Mohd Yusof, minit ke-23.

Pada minit ke-34, gol padang yang dihasilkan Joshua Pollard memastikan giliran KLHC berada di depan tetapi ia hanya bertahan 19 minit selepas Peillat kembali meledak gol ketiga THT.

Pada penentuan penalti, kegagalan Pollard dan Mohd Syamim menghasilkan jaringan membuka peluang buat THT dinobatkan selaku juara sebaliknya, kegagalan tiga pukulan terakhir yang diambil Manraj, Fitri dan Faizal mengecewakan kelab dari Terengganu itu.

Bagaimanapun, kekecewaan THT sedikit terubat apabila Peillat dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir.

Berita Harian X