Jumaat, 5 Januari 2018 | 7:58pm
BEKAS setiausaha agung Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Sieh Kok Chi sokong pemisahan disiplin akuatik. - Foto fail
BEKAS setiausaha agung Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Sieh Kok Chi sokong pemisahan disiplin akuatik. - Foto fail

Kok Chi sokong pemisahan disiplin akuatik

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha agung Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Sieh Kok Chi percaya adalah satu keperluan semua disiplin akuatik memiliki badan induk mereka sendiri untuk memastikan pembangunan masa depan.

Kok Chi berkata, adalah sangat sukar buat ASUM mengurus dan membangunkan lima disiplin akuatik - renang, renang seirama, renang terbuka, terjun dan polo air.

Bekas pemain polo air kebangsaan itu berkhidmat sebagai setiausaha Persatuan Renang Amatur Selangor (SASA) dari tahun 1971-1975 diikuti setiausaha agung ASUM dari tahun 1975-1981.

"Ketika saya (menjadi) setiausaha SASA dan ASUM, saya perlu menghabiskan 90 peratus masa saya mengurus dan membangunkan renang, lapan peratus untuk polo air, dua peratus terhadap terjun dan tiada langsung untuk renang seirama," kata Kok Chi.

"Kerana bebanan kerja itu, saya melepaskan jawatan dalam SASA ketika saya menjadi setiausaha ASUM.

"Tiada pegawai yang ada masa, pengetahuan, pengalaman, keupayaan dan sumber untuk mengetuai lima sukan akuatik, yang amat berbeza daripada satu sama lain dalam aspek teknikal.

"Di bawah lima Persatuan Kebangsaan, setiap satu boleh merangka pelan strategik mereka, mencari dana mereka sendiri dan memohon sokongan individu dari kerajaan."

Menggunakan polo air sebagai contoh, Kok Chi mendakwa dengan meletakkan semua lima disiplin di bawah ASUM, ia mengganggu pembangunan sukan itu sejak bertahun lalu.

"Sejak itu (awal 80-an) saya boleh katakan tidak banyak yang berlaku, tidak banyak dilakukan ASUM selain MSN (Majlis Sukan Negara)," katanya.

Berita Harian X