Jumaat, 5 Januari 2018 | 6:37pm

PKBM optimis tiada hutang anjur ACC bulan depan

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) optimis tidak akan mengalami masalah kewangan dalam penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) ke-38 pada bulan depan.

Menurut Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab, mereka memerlukan kira-kira RM757,000 bagi memastikan kelancaran bagi saingan peringkat elit yang turut berlangsung serentak dengan edisi ke-25 peringkat remaja dan kali ketujuh untuk paracycling.

"Kita memerlukan sekitar RM757,000 dan berdasarkan kiraan apabila ditolak bayaran penyertaan peserta, kita kekurangan RM300,000.

"Bagaimanapun kita masih dalam proses memuktamadkan perjanjian dengan penaja, jadi saya tidak bimbang. Malah kita mempunyai rancangan "B" bagi mengatasi kekurangan ini sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini," katanya.

Menurut Abu Samah, pengalaman menganjurkan kejohanan yang sama pada tahun 2006 dan 2012 di Velodrom Kuala Lumpur selain dua perlumbaan basikal bukit bertaraf Asia, meyakinkan mereka untuk memastikan tidak berlaku masalah kewangan.

"Sebelum ini penganjuran yang kita lakukan tidak mengalami masalah hutang tertunggak dan sebagainya. Jadi kita mahu mengekalkan rekod kali ini," katanya.

Tambah Abu Samah, Konfederasi Berbasikal Asia membenarkan bayaran penyertaan sehingga AS$80 (RM320) kepada setiap peserta sehari.

Velodrom Nasional di Nilai bakal menjadi gelanggang utama kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 20 Februari selepas menjadi venue Sukan SEA, Ogos lalu.

Berita Harian X