Jumaat, 22 Disember 2017 | 7:26pm
PEMAIN Wilayah Persekutuan meraikan kemenangan selepas menewaskan psukan Johor pada kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke- 39 akhir diantara W. Persekutuan menentang Johor di Stadium Juara. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Kuala Lumpur juara, kemarau Johor berpanjangan

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur menepati status pilihan apabila muncul juara Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan selepas menewaskan Johor 48-46 dalam aksi final di Stadium Juara Bukit Kiara di sini, hari ini.

Jurulatih Kuala Lumpur, Norizan Rajab, berkata percaturannya yang meletakkan pemain kebangsaan, S Shandralelka bermain di posisi penjaring gol berjaya membuahkan hasil positif.

"Selepas kali terakhir kami muncul juara pada 2014, akhirnya kami berjaya merampas kembali trofi ini. Sejak dari awal lagi kami memang jangka ia akan menjadi perlawanan yang sengit.

PEMAIN Johor, Norshafiqin Mustapa dihalang pemain Wilayah Persekutuan pada kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke- 39 akhir diantara W. Persekutuan menentang Johor di Stadium Juara. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

"Ini adalah kali kedua kedua-dua pasukan bertemu dan strategi kami untuk menukar penjaring gol membuahkan hasil. Kami juga mendapat rentak kami di suku akhir dan memenangi perlawanan dengan kelebihan dua gol," katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Johor kini mengalami kemarau 11 tahun tanpa gelaran tetapi jurulatihnya, Rohaya Muhamad optimis dengan fokus mereka adalah bagi menghadapi saingan Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak, tahun depan.

"Saya tetap bersyukur biarpun kami tidak menjadi juara dan saya bangga dengan pemain saya. Rata-rata pemain dalam pasukan ini akan bermain pada SUKMA dan ada yang disenaraikan untuk SUKMA 2020," katanya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakar kemenangan 45-42 ke atas Terengganu bagi menamatkan saingan di tempat ketiga manakala juara tahun lalu, Selangor sekadar menghuni tempat keenam.

Dalam itu, pemain Kuala Lumpur, Nur Amisya Khairuddin dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan manakala rakan sepasukan, Nur Fatin Nadirah Abd Hamid dipilih Pemain Pertahanan Terbaik dan Pemain Menyerang Terbaik menjadi milik Nur Fariha Abdul Razak yang beraksi bersama Johor.

Khairunnisa Nazri dari Perak dinamakan sebagai Penjaring Gol Terbaik dengan 167 gol.

Berita Harian X