Rabu, 20 Disember 2017 | 11:26pm

Birmingham bakal tuan rumah Sukan Komanwel 2022

LONDON: Birmingham akan diumumkan sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2022 selepas Durban dilucutkan hak itu pada Mac lalu, menurut laporan hari ini.

Temasya sukan itu awalnya diberikan kepada Durban pada tahun 2015 tetapi hak milik penganjuran bandar dari Afrika Selatan itu ditarik semula berikutan masalah kewangan.

Berikutan itu, bidaan dilakukan semula menerusi dana kerajaan British membabitkan persaingan antara Birmingham dan Liverpool yng menyaksikan bandar di tengah England itu dipilih sebagai tuan rumah baharu pada September lalu.

Di sebalik menjadi satu-satunya bandar yang membuat bidaan kepada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) selepas tarikh permohonan berakhir September lalu, Birmingham perlu menunggu selama hampir tiga bulan untuk disahkan selaku tuan rumah baru.

Permohonan awal bandar itu pada awalnya disifatkan tidak mematuhi syarat sepenuhnya dengan CGF meminta jaminan dana dari Birmingham dan kerajaan British.

Pengesahan Birmingham akan menjadi tuan rumah 2022 dijangka akan diumumkan pada sidang media di bandar itu esok.

Gold Coast, Australia akan menjadi tuan rumah kepada temasya sukan itu pada tahun depan. - AFP

Berita Harian X