Sabtu, 16 Disember 2017 | 8:16pm
REAKSI spontan para pemain bola jaring negara pada satu majlis minum petang Skuad Bola Jaring bersama peminat di Stadium Juara Bukit Kiara.- Foto Osman Adnan
REAKSI spontan para pemain bola jaring negara pada satu majlis minum petang Skuad Bola Jaring bersama peminat di Stadium Juara Bukit Kiara.- Foto Osman Adnan

Bola jaring berhak disenarai dalam sukan teras

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Datuk Suraya Yaacob menggesa sukan itu dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam senarai sukan teras bagi menggantikan salah satu daripada tiga sukan yang digugurkan, Selasa lalu.

Menurutnya, beliau berpendapat bola jaring wajar menggantikan tempat salah satu sukan berkenaan susulan kejayaan memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu selain ia satu-satunya sukan wanita.

"Apa yang penting kami perlu berusaha memasukkan bola jaring dalam senarai sukan teras kerana sukan ini berhak disenaraikan," kata Suraya.

"Sebelum ini, mereka berkata sukan dalam senarai program itu sudah mencukupi tetapi sekarang mereka menggugurkan tiga, jadi mengapa tidak memasukkan sukan wanita?

"Beri peluang kepada kami dan menerusinya kami harap dapat memperkenalkan liga semi-pro yang mampu menjana pendapatan pemain," katanya pada sesi bertemu peminat bersama skuad emas KL2017 di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan tiga sukan - sepak takraw, angkat berat dan taekwondo - digugurkan daripada sukan teras susulan prestasi merosot, masalah doping dan kemelut persatuan.

Sementara itu, Suraya mengumumkan pihaknya akan menganjurkan Kejohanan Piala Evo tahun depan yang akan membabitkan 32 kelab dari setiap negeri bersaing dengan final bakal diadakan di Axiata Arena pada Disember 2018.

"Ia akan membabitkan 5,300 pemain, tidak termasuk pegawai akan terbabit dalam kejohanan ini yang menawarkan hadiah RM100,000 kepada juara. Ini juga antara langkah kami dalam usaha memperkenalkan liga profesional satu hari nanti," katanya.

Berita Harian X