Sabtu, 9 Disember 2017 | 9:29pm
ATLET bowling Pelapis Negara, Qistina Zainal berjaya menenangi kejohanan Bowling MIlo Junior All-Star Terbuka Perempuan di Sunway Megalane, Subang. - Foto Osman Adnan

Qistina bergaya akhiri 2017

PETALING JAYA: Pemain pelapis negara, Qistina Zainal Fitri mengakhiri kalendar tahun ini dengan bergaya apabila menjuarai kategori wanita Kejohanan Boling All-Stars Remaja Antarabangsa MILO Ke-18 di Sunway Megalanes di sini, hari ini.

Qistina, 21, menewaskan rakan sepasukan, Nur Ameerahusna Aznel dengan 237-191 dan 182-178 jatuhan pin.

Pada permainan kedua, Qistina ketinggalan sehinggalah frame kesembilan dia mula memantapkan balingan bagi mengatasi Ameerahusna dengan 162 jatuhan pin berbanding lawan, 161.

"Saya akui peluang saya pada mulanya untuk muncul juara tipis kerana agak ketinggalan, namun tuah menyebelahi saya pada permainan hari ini.

"Saya bersyukur kerana sasaran untuk memenangi kejohanan ini tercapai, apatah lagi, ia kejohanan terakhir saya sebagai pemain pelapis.

"Malah, ia kejayaan dan penutupan tahun yang terbaik buat saya," katanya yang membawa pulang wang tunai RM18,000 dan trofi selepas memenangi final step-ladder itu.

Qistina yang lebih mesra disapa Qina dan baru menamatkan pengajian dalam Diploma Komunikasi Massa di Universiti Selangor, berharap kejayaan itu membuka peluangnya untuk disenaraikan dalam skuad senior selepas lima tahun beraksi dalam skuad pelapis.

Sementara itu, pemain Korea Selatan, Kang Myoung Jin menewaskan Timothy Tham dari Singapura 234-172 untuk mengungguli kategori lelaki sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 dan trofi.

Aksi terakhir esok bakal menyaksikan saingan kategori The Masters yang menawarkan hadiah wang tunai RM35,000 kepada juara.

Berita Harian X