Isnin, 4 Disember 2017 | 10:23pm
PEMAIN Golf negara, Ashley Lau tak mahu tertekan menjelang aksi di Kejohanan Golf Antarabangsa Remaja Kumpulan AmBank-SportExcel. - Foto Supian Ahmad
PEMAIN Golf negara, Ashley Lau tak mahu tertekan menjelang aksi di Kejohanan Golf Antarabangsa Remaja Kumpulan AmBank-SportExcel. - Foto Supian Ahmad

Ashley, Zubair tekad pertahankan gelaran di Glenmarie

KUALA LUMPUR: Pemain remaja negara, Ashley Lau tidak mahu terlalu tertekan menjelang aksi di Kejohanan Golf Antarabangsa Remaja Kumpulan AmBank-SportExcel, meskipun menggalas tugas selaku juara bertahan.

Kejohanan yang berlangsung hari ini sehingga Khamis di Glenmarie Golf&Country Club itu sekali lagi bakal menemukannya dengan pencabar terdekat, Winnie Ng - naib juara 2016 dan bagi pemain berusia 17 tahun itu, pengalaman di lapangan berkenaan bakal menjadi azimatnya untuk cuba meraih kemenangan.

"Untuk tahun ini, saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran dan hanya mahu mencari kemenangan," kata Ashley yang berpangkalan di Australia itu. "Saya pernah bermain di sini dan akan menggunakan pengalaman yang ada untuk melakukan yang terbaik."

Pada 2015, Ashley menerima tajaan biasiswa RM129,250 untuk melanjutkan pelajaran di Akademi Golf Antarabangsa Hills di Australia, selepas menewaskan juara Sukan SEA Myanmar 2013, Mary Superal dalam kategori perempuan 15 hingga 18 tahun di kejohanan sama.

Atlet kelahiran Sarawak itu sekali lagi mempertahankan gelarannya pada tahun lalu selepas menewaskan rakan senegara, Winnie dengan kelebihan tiga pukulan.

"Ramai rakan saya beraksi di sini minggu ini dan saya mahu menikmati permainan," kata Ashley yang kini sedang memburu gelaran ketiganya di sini. "Bagi saya, antara pesaing utama kali ini sudah tentunya Winnie dan beberapa lagi pemain dari Thailand."

Sementara itu, Zubair Firdaus yang turut menerima biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di Akademi Golf Antarabangsa Hills turut menyimpan hasrat untuk mempertahankan gelarannya dalam kategori lelaki 13 hingga 14 tahun pada edisi ke-12 penganjuran kali ini.

"Ini kali pertama saya beraksi di Glenmarie," kata atlet kelahiran Terengganu itu. "Saya menyukai lapangan ini dan akan cuba yang terbaik untuk mempertahankan gelaran.

"Cuaca diramalkan hujan minggu ini dan saya harap dapat bermain dengan baik dan meraih keputusan bagus. Ramai kenalan beraksi di sini dan saya tahu yang saingan akan menjadi sukar tetapi saya berharap dapat melakukan yang terbaik."

Edisi ke-12 kali ini menyaksikan 109 pemain remaja mengambil bahagian - 64 daripadanya adalah pemain tempatan. Selebihnya adalah pemain luar negara antaranya dari Thailand, China, Indonesia, Korea Selatan, Australia dan Taiwan.

Berita Harian X