Isnin, 27 November 2017 | 1:10pm
SEKOLAH Menengah Sains Hulu Langat Selangor muncul juara Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Bawah 15 MSSM 2017, semalam.

SEMASHUR juara

IPOH: Sekolah Menengah Sains Hulu Langat Selangor (SEMASHUR) muncul juara Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Bawah 15 Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) 2017 berakhir di Ipoh, semalam.

SEMASHUR menumpaskan Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kedah (SAINA) 15-0 pada aksi final di Padang Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh.

Wakil Selangor itu mendahului 5-0 pada babak pertama melalui try Mohd Najmuddin Norhisham sebelum pemain itu mengukuhkan kedudukan SEMASHUR melalui satu lagi try dan Asrul Idham Asri melengkapkan penguasaan bekas juara 2014 itu .

Walaupun SAINA cuba memberi saingan tetapi mereka tidak berupaya merobek kekebalan benteng pasukan bimbingan jurulatih Mohd Soleh Abd Hamid dan Mohd Huzairi Mohd Sani itu.

SEMASHUR mara ke final selepas mengetepikan SM Datuk Abdul Razak (SDAR) manakala SAINA menundukkan SM Sultan Alam Shah (SAS) di separuh akhir.

SAS menebus kehampaan mereka dengan menumpaskan SDAR 17-0 untuk menduduki tempat ketiga.

SMK King Edward 7 (KE), Taiping muncul juara 'Plate' selepas kejayaan 21-7 ke atas Maktab Sultan Abu Bakar (EC) Johor manakala SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu muncul juara 'Bowl' apabila mengatasi MRSM Kuala Terengganu 10-5

SMK Sultan Yahya Petra 1 pula menjuarai kategori 'Plate' selepas membenam SMK Sandakan 42-0.

Sebanyak 32 sekolah menyertai kejohanan merebut Piala Datuk Dr Sulaiman Daud yang bermula sejak 1981 itu.

Berita Harian X