Isnin, 6 November 2017 | 6:03pm
KETUA Pegawai Eksekutif Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff . - Foto Supian Ahmad

Golf BDB tawar rumah berkembar, 2 kereta

jumiati@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Hadiah keseluruhan RM900,000 termasuk sebuah rumah berkembar dua tingkat dan dua kereta ditawarkan pada edisi ketiga Kejohanan Golf Amatur BDB Masters dan Golf Amal 2017 di Kelab Golf dan Country Darulaman (DGCC), Kedah dari 15 hingga 17 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff berkata, rumah berkembar dua tingkat yang terletak di Darulaman Perdana, Sungai Petani serta dua kereta, Toyota Vios serta Perodua Myvi ditawarkan bagi pemain pertama yang berjaya melakukan pukulan selubang (hole-in-one) pada setiap hari di lapangan golf 18 lubang yang baru dinaiktaraf itu.

"Jumlah keseluruhan hadiah kemenangan adalah RM900,000, sama seperti kejohanan tahun lalu tetapi tahun lalu kita menawarkan sebuah banglo.

"Kali ini kita pecahkan nilai itu kepada sebuah rumah Semi-D dengan dua kereta, jadi kita pecahkan pada setiap hari ada satu hadiah hole-in-one bagi menarik penyertaan," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Berikutan penyertaan yang menggalakkan, Izham berkata penganjur menyasarkan 160 penyertaan pada edisi kali ini berbanding 120 peserta tahun lalu.

"Buat masa ini kita sudah menerima separuh daripada sasaran (lebih kurang 80 penyertaan) termasuklah peserta yang turut serta pada edisi terdahulu," katanya.

Pada edisi kali ini juga, satu lagi kategori senior akan pertama kali dipertandingkan di samping kategori Gross, Nett dan Intermediate dan terbuka kepada pemain dalam serta luar negara.

Selain kejohanan bagi mempromosikan pelancongan sukan di negeri Kedah itu, Izham berkata, sumbangan yang diterima menerusi kejohanan golf amal yang diadakan pada hari terakhir akan disalurkan kepada badan kebajikan dan membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Edisi lalu menyaksikan RM50,000 disalurkan kepada empat badan kebajikan menerusi golf amal yang dianjurkan.

Berita Harian X