Isnin, 6 November 2017 | 12:20am
TUNKU Laksamana Kedah, Datuk Tunku Sarafuddin Badlishah Tunku Sallehuddin (duduk tengah) bersama Datuk Cham Nong Aliap, (duduk dua kiri) dan Mohamad Rizal Mohd Radzi (duduk kiri) bergambar dengan peserta Kejohanan Golf Widad di TPC Bukit Kiara. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kedah sedia lahir ramai pemain golf bertaraf antarabangsa

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah yakin mampu melahirkan lebih ramai pemain golf bertaraf kebangsaan dan antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarahnya, Mohamad Rizal Mohamad Radzi berkata, sasaran itu bukan satu perkara mustahil kerana ketika ini ada kira-kira 120 pemain golf remaja dan muda berusia antara lapan hingga 20 tahun berasal dari Kedah yang sedang menempa nama masing-masing di pelbagai kejohanan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Malah, Mohamad Rizal menegaskan ketika ini ada tiga atlet muda dari Kedah kini sedang menimba pengalaman dan menuntut ilmu berkaitan sukan golf di Amerika Syarikat.

"Pada masa sama, kami juga menganjurkan Sirkit Golf Remaja Kedah bagi mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak muda dan remaja di negeri ini.

"Justeru, saya percaya insya-Allah negeri Kedah mampu melahirkan ramai pemain golf bertaraf kebangsaan dan antarabangsa dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi," katanya.


TUNKU Laksamana Kedah, Datuk Tunku Sarafuddin Badlishah Tunku Sallehuddin (tengah) diiringi Mohamad Rizal Mohd Radzi (kiri) bersalaman dengan sebahagian peserta Kejohanan Golf Widad di TPC Bukit Kiara. - Foto Luqman Hakim Zubir

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Kejohanan Golf Remaja Widad anjuran Kumpulan Perniagaan Widad yang disempurnakan oleh Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tuanku Sallehuddin di TPC Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Pemegang Amanah Yayasan Widad, Datuk Awang Kechik dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Widad, Datuk Cham Nong Aliap.

Terdahulu, Mohamad Rizal berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Glenmarie Golf & Country Club dan TPC Kuala Lumpur kerana sudi memberi peluang kepada lebih 40 atlet remaja dari Kedah menimba pengalaman dan ilmu bermain di lapangan golf yang pernah menjadi gelanggang banyak kejohanan bertaraf antarabangsa seperti LPGA dan CIMB Classic 2017.

"Saya harap semua pemain golf remaja dapat memanfaatkan segala pengalaman dan ilmu dipelajari menerusi Program Pembangunan Golf Remaja bersama Kumpulan Widad ini untuk meningkatkan mutu permainan dan kerjaya masing-masing dalam sukan ini pada masa depan," katanya.

Berita Harian X