Ahad, 5 November 2017 | 9:04pm
ALYA Afza Hazari bersemangat untuk mengejar cita-citanya menjadi pemain nombor satu remaja wanita dunia. - Foto Amran Hamid
ALYA Afza Hazari bersemangat untuk mengejar cita-citanya menjadi pemain nombor satu remaja wanita dunia. - Foto Amran Hamid

Impian Alya tinggi menggunung

KUALA LUMPUR: Pemain cilik, Alya Afza Hazari, 11, kini memasang impian besar untuk muncul pemain golf nombor satu remaja wanita dunia dalam tempoh empat tahun akan datang.

Murid Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pekan Lama Sungai Petani, Kedah itu juga mahu mengejar impiannya untuk beraksi dalam siri Jelajah LPGA suatu hari nanti.

Bintang cilik berasal dari Alor Setar itu makin bersemangat untuk mengejar cita-citanya menjadi pemain nombor satu remaja wanita dunia selepas dia berjaya muncul juara Sirkit Golf Remaja SportExcel Malaysia tahun ini.

"Bagaimanapun, matlamat utama saya sekarang adalah untuk memperbaiki kedudukan dan muncul juara di Kejohanan Golf Kanak-Kanak Dunia anjuran US Kids Golf di Tanjong Puteri Golf Resort, Pasir Gudang, bulan depan.

"Oleh itu saya berharap dapat menggunakan segala pengalaman dan ilmu yang dicurahkan jurulatih selama ini untuk muncul juara di Kejohanan Golf Kanak-Kanak Dunia nanti," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

ALYA Afza Hazari muncul pemenang pertandingan kejohanan Asia-Pacific di Glenmarie Golgf and Country Club. - Foto Muhammad Sulaiman
ALYA Afza Hazari muncul pemenang pertandingan kejohanan Asia-Pacific di Glenmarie Golgf and Country Club. - Foto Muhammad Sulaiman

Malah, sepanjang musim lalu saja pemain cilik itu sudah menjulang hampir empat kejuaraan di peringkat domestik selain yang terbaru kejayaan mendominasi saingan Remaja TPC dan Sirkit Golf Remaja SportExcel Malaysia di Kuala Lumpur pada Januari dan Mac lalu.

Bagaimanapun, menurut Alya, dia tidak pernah berasa terganggu dan penat untuk berlatih biarpun sibuk dengan belajar dan mengulang kaji pelajaran.

Jadi tidak hairanlah jika Alya boleh meluangkan masa lebih 15 jam seminggu atau sekurang-kurangnya dua jam sehari untuk menjalani latihan golf selepas waktu sekolah.

Berita Harian X