Sabtu, 4 November 2017 | 8:50pm
PENGARAH Majlis Sukan Negeri Kedah, Mohamad Rizal Mohamad Radzi (tengah) bersama Pemegang Amanah Yayasan Widad, Datuk Awang Kechik (dua kiri) dan Pengarah Widad Business Group, Datuk Cham Nong Aliap (tiga kiri) bersama peserta yang menyertai Kedah Junior Golf Mini Tournament yang dibuat di Glenmarie Golf and Country Club. - Foto Muhammad Sulaiman

Kumpulan Widad komited bantu pembangunan golf

SHAH ALAM: Seramai 43 pemain golf muda berbakat berusia antara lapan hingga 18 tahun menyertai Kejohanan Golf Remaja Widad anjuran Kumpulan Perniagaan Widad dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah di Glenmarie Golf & Country Club (GGCC), selama dua hari mulai hari ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Widad, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, matlamat utama penganjuran kejohanan itu adalah untuk memupuk minat dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak muda.

Sebagai membuktikan komitmen dan kesungguhan dalam memberi sokongan kepada pembangunan sukan golf secara sistematik, Ikmal sanggup menjadi bapa angkat kepada pemain golf remaja berasal dari Kedah.

"Kami amat berbesar hati untuk turut serta menganjurkan Kejohanan Golf Remaja Widad buat pemain muda. Selain menguji kepakaran mereka dalam sukan golf, kejohanan sebegini juga dapat membentuk disiplin dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan mereka," katanya.


PEMEGANG Amanah Yayasan Widad, Datuk Awang Kechik (dua kiri) bersama Pengarah Widad Business Group, Datuk Cham Nong Aliap (kiri) memberikan kata semangat kepada peserta yang menyertai Kedah Junior Golf Mini Tournament di Glenmarie Golf and Country Club. - Foto Muhammad Sulaiman

"Inisiatif yang dikembangkan oleh Proram Pembangunan Golf Remaja bernaung di bawah MSN Kedah juga dapat menonjolkan bakat baharu serta meningkatkan kemahiran atlet muda untuk membawa cabaran negara ke arena sukan golf antarabangsa sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia."

Turut hadir Pemegang Amanah Yayasan Widad, Datuk Awang Kechik dan Pengarah Kumpulan Widad, Datuk Cham Nong Aliap.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan itu dijangka disempurnakan oleh Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tuanku Sallehuddin, petang esok.

Sementara itu, Pengarah MSN Kedah, Mohamad Rizal Mohamad Radzi berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Widad kerana memberi peluang kepada pemain golf remaja dan atlet pelapis elit dari Kedah untuk menimba pengalaman bermain di lapangan terkenal seperti GGCC termasuk juara golf remaja Asia Pasifik, Alia Afza Hazari, 8.

"Semua peserta juga akan mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih profesional yang diketuai oleh Travis Van Dijk dari TPC Kuala Lumpur bagi memberi pendedahan dan panduan mengenai kaedah terbaik bermain golf," jelasnya.

Berita Harian X