Khamis, 2 November 2017 | 7:47pm
DAKWAAN Velodrom Rakyat Ipoh yang diarahkan UCI supaya dirobohkan kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan adalah tidak benar. - Foto Supian Ahmad
DAKWAAN Velodrom Rakyat Ipoh yang diarahkan UCI supaya dirobohkan kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan adalah tidak benar. - Foto Supian Ahmad

Amarjit nafi UCI arah roboh trek Velodrom Rakyat

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Berbasikal Perak (PCA), Datuk Amarjit Singh Gill menafikan sekeras-kerasnya terdapat sebarang perbincangan dalam mesyuarat ahli lembaga pengurusan eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berhubung tindakan merobohkan trek Velodrom Rakyat di Ipoh.

"Sebagai ahli lembaga, saya ada dalam mesyuarat di China minggu lalu dan menegaskan tiada sebarang perbincangan atau sebutir perkataan berhubung Velodrom Rakyat disebut dalam mesyuarat itu.

"Jika ada keputusan yang membabitkan Malaysia dan Asia, saya orang pertama yang akan dimaklumkan. Tidak benar ada sebarang arahan dikeluarkan UCI seperti yang didakwa," katanya.

Amarjit yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengulas terdapat dakwaan velodrom itu diarahkan UCI supaya dirobohkan kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan badan induk berbasikal dunia itu.

Berhubung isu homologation, Amarjit menjelaskan proses itu masih berterusan dan jika pegawai teknikal UCI mahu mengemukakan sebarang cadangan, ia dialu-alukan selain menolak andaian acara trek akan digugurkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab turut mengeluarkan kenyataan awal bulan ini dan merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden UCI, David Lappartient bagi menyelesaikan perkara itu.

"Pada mesyuarat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya tahun lalu yang turut dihadiri Abu Samah, Tan Sri Darshan Singh Gill dan saya sudah mengarahkan kontraktor supaya menyediakan rancangan bagi memastikan homologation diberikan UCI. Mesyuarat itu turut dihadiri semua pihak termasuk pembina trek, Sander Douma dari Belanda," katanya.

Homologation adalah proses mengesahkan semua spesifikasi yang dibina di Velodrom Rakyat menepati piawaian UCI, sekali gus membolehkan sebarang kejohanan antarabangsa diadakan dan rekod dilakukan pelumba diiktiraf.

"Sepanjang pengetahuan saya, trek dan fasiliti bersedia untuk digunakan kecuali sistem catatan masa yang akan dipasang bulan depan. Dalam mesyuarat bersama KBS bulan lalu, kami juga sudah memohon untuk membenarkan pelumba Perak mengadakan latihan dan secara dasarnya sudah dipersetujui."

Pada 2016, Velodrom Rakyat diberikan peruntukan RM11 juta oleh KBS bagi membaikpulih trek sepanjang 250 meter itu. Ia velodrom pertama di negara ini yang dibina pada 1984 hasil sumbangan orang ramai.

Gelanggang itu pernah menganjurkan beberapa kejohanan utama dunia seperti Piala Trek Dunia 2000, Kejohanan Berbasikal Dunia B 1997 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia 1991.

Berita Harian X