Isnin, 30 Oktober 2017 | 9:32pm
PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab dakwa sistem yang dibeli dari Belgium itu tidak sempurna. - Foto Osman Adnan
PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab dakwa sistem yang dibeli dari Belgium itu tidak sempurna. - Foto Osman Adnan

PKBM risau sistem catatan masa elektronik Velodrom Nasional

KUALA LUMPUR: Malaysia akan berdepan lebih banyak masalah jika tidak mencari jalan penyelesaian berhubung sistem catatan masa elektronik yang digunakan di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab, mendakwa sistem yang dibeli dari Belgium itu tidak sempurna.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku, namun kontraktor velodrom tidak berbincang dengan PKBM berhubung pembelian serta pemasangan sistem dari Belgium ini.

"Ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), sistem ini dapat digunakan kerana wakil syarikat mereka masih berada di Malaysia untuk membantu dan melaksanakan dengan sedikit pengubahsuaian.

"Bagaimanapun kita tidak mempunyai kemahiran untuk menggunakan sistem itu. Adalah tidak efektif terutama dalam aspek kos apabila terpaksa memanggil wakil mereka jika mahu menganjurkan kejohanan," katanya.

Abu Samah pernah meluahkan rasa hairan ketika upacara pembukaan pada Mei lalu apabila catatan masa tidak dipamerkan secara automatik di papan utama velodrom.

Ketika itu, dua pelumba trek negara, Azizulhasni Awang dan Josiah Ng melintasi garisan penamat dan catatan masa tertangguh selama dua saat.

Persoalan mengenai penggunaan sistem catatan masa elektronik timbul apabila catatan pelumba pelapis kebangsaan, Muhammad Nur Aiman Rusli yang mengatasi rekod remaja Asia di Kejohanan Trek Junior Cycling Malaysia (JCM), semalam tidak diiktiraf.

Rekod kebangsaan yang dipegang seorang lagi pelumba negara, Mohd Firdaus Zonis juga tidak diiktiraf kerana hanya menggunakan catatan secara manual (tangan).

Dia melakukan seminit 03.492s dalam acara satu kilometer ujian masa, mengatasi catatan 1.03:962s yang dilakukan Firdaus ketika ACC 2014.

"Insiden yang berlaku itu adalah satu pengajaran kepada semua pihak. Saya risau masalah lebih besar akan timbul apabila kita menganjurkan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) pada Februari 2018.

"Lebih 25 negara akan menyertainya dan kita tidak mahu masalah lain timbul pada masa itu.

"Jadi saya berharap dapat berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secepat mungkin bagi memperbetulkan keadaan.

"Adalah merugikan kerana kita sudah berbelanja besar untuk membina velodrom, namun sistem catatan masa elektronik adalah tidak beberapa tepat," katanya.

Velodrom Nasional Malaysia yang terletak di Nilai itu dibina dengan harga RM80 juta.

Berita Harian X