Jumaat, 27 Oktober 2017 | 4:33pm
DATUK Jawahar Ali (lima dari kiri) ketika sidang media Kejohanan Ragbi MSSWPKL Piala Datuk Jawahar Ali.
DATUK Jawahar Ali (lima dari kiri) ketika sidang media Kejohanan Ragbi MSSWPKL Piala Datuk Jawahar Ali.

Ragbi Piala Jawahar lonjakan baru

KUALA LUMPUR: Sukan ragbi peringkat remaja Kuala Lumpur diberi nafas baharu apabila Restoran Ali Maju bersedia menjadi rakan penaja untuk Kejohanan Ragbi MSSWPKL di sini, selama dua hari bermula esok.

Namun kejohanan yang julung kali dianjurkan itu hanya tertumpu kepada tiga kategori - Bawah 11, 13 dan 15 Tahun - dan ia dikenali sebagai Kejohanan Ragbi MSSWPKL Piala Datuk Jawahar Ali.

Menurut Jawahar yang juga pemilik rangkaian Restoran Ali Maju, pihaknya berasa terpanggil untuk membantu kejohanan itu bagi memperkasakan pembangunan sukan ragbi, khususnya di Kuala Lumpur.

Setakat ini katanya, sebanyak 35 sekolah sudah mengesahkan penyertaan termasuk dua jaguh utama kategori B-15 iaitu Victoria Institution (VI) dan Sekolah Menengah Sains Selangor.

"Saya berharap menerusi kejohanan ini dapat mencungkil bakat baru untuk diangkat ke peringkat kebangsaan," katanya pada sidang media hari ini.

Dengan misi melahirkan pemain masa depan negara, kejohanan itu dianjurkan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Seri Rampai dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Malah, menerusi kejohanan itu pemain akan dipilih mewakili pasukan B-15 Kuala Lumpur ke Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 merebut Piala Datuk Sulaiman Daud di Ipoh, bulan depan.

Lebih menarik, kejohanan yang diiktiraf Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) itu akan mengguna pakai format pertandingan kebangsaan iaitu empat pasukan terbaik merebut kejuaraan Cup dengan selebihnya untuk kategori plate dan bowl.

Pemenang bagi kategori Cup akan membawa pulang RM500 berserta piala pusingan dan sijil dengan naib juara meraih RM300 bagi setiap kategori.

Berita Harian X