Sabtu, 7 Oktober 2017 | 6:01pm
IR ROSLI (tengah) bersama Abdul Jalil (tiga dari kiri), Alfian (kanan), Nazlee (tiga dari kanan), Othman (dua dari kiri) dan Ketua Bahagian Pejabat MPK Cawangan Kerteh, Anita Othman (kiri) bergambar bersama pemenang Kategori Terbuka Lelaki sempena acara berbasikal Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017 di Kerteh, Terangganu. - Foto Zulfadhli Zulkilfi.
IR ROSLI (tengah) bersama Abdul Jalil (tiga dari kiri), Alfian (kanan), Nazlee (tiga dari kanan), Othman (dua dari kiri) dan Ketua Bahagian Pejabat MPK Cawangan Kerteh, Anita Othman (kiri) bergambar bersama pemenang Kategori Terbuka Lelaki sempena acara berbasikal Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017 di Kerteh, Terangganu. - Foto Zulfadhli Zulkilfi.

Fauzan ungguli GP HMMTB di Kerteh

CHUKAI: Kelebihan pengalaman jelas memberikan kekuatan tambahan kepada pelumba Giant-PDRM, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi apabila sekali lagi menguasai saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 Siri Dua di Kerteh, sebentar tadi.

Lebih manis pasukan Giant-PDRM menamatkan saingan di kedudukan satu-dua yang menyaksikan seorang lagi pelumba mereka, Muaz Abdul Rahim muncul naib juara.

Fauzan, 31, yang meraih emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lalu melepasi garisan penamat dengan catatan 1 jam 19 minit 30 saat dengan Muaz kedua (1:19:34s).

Abdul Halim Hasan dari pasukan Nadiz Cycling Team di tempat ketiga dengan catatan 1:20.33s.

Fauzan yang sebelum ini mengungguli saingan siri pertama HMMTB di Bukit Merah berkata, keputusan meninggalkan Jelajah Malaysia yang memasuki peringkat terakhir hari ini untuk menyertai HMMTB berbaloi biarpun terpaksa menempuh perjalanan yang panjang untuk sampai ke Terengganu.

"Pada mulanya saya tidak pasti sama ada mahu menyertai siri di Kerteh kerana berada di Gunung Jerai, namun memikirkan misi dan selepas mendapat pelepasan jurulatih, akhirnya sampai juga saya di sini.

PEMENANG tempat pertama kategori Men Open Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi pada Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017- Kerteh. - Foto Rozainah Zakaria
PEMENANG tempat pertama kategori Men Open Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi pada Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017- Kerteh. - Foto Rozainah Zakaria

"Kemenangan ini memberi saya kepuasan biarpun sedikit letih selepas menempuh perjalanan yang jauh.

"Saya mempunyai misi yang perlu direalisasikan iaitu melakarkan sejarah muncul juara keseluruhan buat kali keempat berturut-turut dalam siri perlumbaan HMMTB ini," katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Rosli Othman; Ketua Pegawai Eksekutif, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Nazlee Khalifah; dan Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI), Harian Metro, Othman Mamat.

Sementara itu Masziyaton Mohd Radzi mengungguli kategori wanita terbuka. Pelumba dari Kedah itu merekodkan 1:34.52s menewaskan pencabarnya, Sarocha Kamonlakhon dari pasukan Thailand All Star (1:37.26s) dan Noor Azian Alias (Deuter Pinky) di tangga ketiga (1:38.07s).

Kategori remaja dikuasai Muhammad Yusri Shaari (1:23.11s), tempat kedua milik Khairul Aniq Mohamad Ghazali (pasukan SBS Giant) dengan rekod 1:23.36s dan tempat ketiga milik pelumba Haatyai MTB Thailand, Nati Samansanti (1:23.31s).

Bagi kategori Junior Master lelaki, Mohd Zukri Tahir (pasukan Polygon Malaysia) muncul juara dengan catatan 1:23.46s diikuti Surachet Sun Jui (Thailand All Star) dengan masa 1:25.17s dan Azizulazli Shaari (1:26.11s) masing-masing di tangga kedua dan ketiga.

Manakala kategori lelaki senior Master menyaksikan Muhammad Razani Hussain terlebih dulu melepasi garisan penamat untuk muncul juara selepas mencatatkan 1:27.05s.

Razani menewaskan pencabar utama Prasert Chitmart (Thailand All Star) yang merekodkan masa 1:29.03s dan tempat ketiga milik Tan Chee Yong (pasukan SBS Giant) dengan catatan 1:29.06s.

Berita Harian X