Rabu, 4 Oktober 2017 | 9:24pm
PENGERUSI Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah (dua kanan) bersama Pengarah Harlie Venture, Harris Mohd Sani (kanan) menunjukkan baju rasmi pertandingan dan medal pada sidang media BIMBJ 2017 di Wisma Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

1,000 peserta BIMBJ 2017 bakal redah Tasik Beris

ALOR SETAR: Tasik Beris, Sik, Kedah akan digegarkan dengan perlumbaan basikal lasak antarabangsa 'Beris International Mountain Bike Jamboree 2017' (BIMBJ 2017) yang bakal disertai 1,000 peserta tempatan serta luar negara pada 14 Oktober ini.

BIMBJ 2017 yang memasuki edisi kedua sejak diperkenalkan tahun lalu, mendapat sambutan hangat 12 penaja, berbanding hanya tujuh penajaan pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, walaupun baru setahun acara ini diperkenalkan, ia semakin mendapat sambutan menggalakkan penaja dan peserta.

"Berbanding tahun, acara ini disertai oleh 824 peserta dan kali ini, kita menjangkakan 1,000 peserta termasuk dari Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belantik.


DATUK Mohd Tajudin Abdullah (berdiri tiga kanan) bersama penaja pada sidang media BIMBJ 2017 di Wisma Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

Acara kali ini menawarkan lima kategori - Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Junior Master (35 Tahun hingga 45 Tahun), Senior Master (46 tahun ke atas) dan Institut Pengajian Tinggi.

Secara keseluruhan, perlumbaan sejauh 37 kilometer itu menawarkan hadiah wang tunai RM7,000 serta hadiah istimewa bagi peserta paling muda dan paling tua.

Peserta akan merentasi lima kampung bermula dari Ladang Anggur Beris, Kampung Ternas, Kampung Telaga Batu, Kampung Sungai Batang, Kampung Caruk Tenang, Kampung Batu Seketul sebelum menamatkan perlumbaan di Ladang Anggur Beris.

Kali ini, peserta akan merentasi 30 peratus trek baharu iaitu anak sungai, pintasan tasik Beris, trek kampung, hutan, ladang dan diakhiri dengan laluan 10 km jalanraya ke garisan penamat.


DATUK Mohd Tajudin Abdullah (tengah) bersama Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Sik, Yazlan Sunardie Che Yahya (kanan) melihat barangan yang ditaja untuk kejohanan Beris International Mountain Bike Jamboree 2017 di Wisma Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

Berita Harian X