Ahad, 1 Oktober 2017 | 10:16pm
Pasukan Singa FRC muncul juara kategori pasukan kelab dalam Kejohanan Ragbi Antarabangsa Negeri Sembilan (NS) Power Royal Sevens 2017.
Pasukan Singa FRC muncul juara kategori pasukan kelab dalam Kejohanan Ragbi Antarabangsa Negeri Sembilan (NS) Power Royal Sevens 2017.

Singa FRC juara Ragbi Antarabangsa NS Power Royal Sevens

SEREMBAN: Pasukan Singa FRC daripada Singapura muncul juara kategori pasukan kelab dalam Kejohanan Ragbi Antarabangsa Negeri Sembilan (NS) Power Royal Sevens 2017 yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, hari ini.

Singa FRC, selaku pasukan pilihan, berhadapan saingan sengit daripada pasukan senegara di peringkat akhir kejohanan ketika bertemu Singapore Criket Club dengan kemenangan tipis 17-14.

Singa FRC membawa pulang piala pusingan Piala Yam Tuan Negeri Sembilan Royal Sevens, piala iringan berserta hadiah iringan, sementara Singapore Criket Club selaku naib juara pula membawa pulang piala iringan berserta hadiah iringan.

Sementara itu, pasukan Cobra daripada Selangor meraih tempat ketiga selepas berjaya menewaskan RMP Blues (Polis) 17- 12 dalam merebut tempat ke- 3 dan ke-4 bagi kategori sama.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin turut hadir menyaksikan perlawanan akhir kejohanan edisi ke-19 itu.

Tuanku Muhriz turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir kejohanan itu ialah Penaung Kesatuan Ragbi Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Tunku Naqiuddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar, Presiden Kesatuan Ragbi MalaysiaDatuk Shahrul Zaman Yahya dan Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Sembilan Abdul Jalil Datuk Borhanuddin.

Dalam perlawanan akhir kategori sekolah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mersing, Johor, muncul juara selepas mengetepikan Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kedah 19-5.

SMK Seri Mersing membawa pulang Piala Pusingan Menteri Besar Negeri Sembilan, piala iringan dan hadiah iringan manakala Sekolah Menengah Sains Pokok Sena membawa pulang piala iringan berserta hadiah iringan.

Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Saujana, Pahang menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Negeri Sembilan 12-7.

-- BERNAMA

Berita Harian X