Jumaat, 22 September 2017 | 11:40pm
PENGURUS Besar Sunway Mega Lanes, Michelle Wong (dua dari kiri) bersama pengerusi Kelab Sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal (kanan) ketika melancarkan logo Karnival Boling Kidal 2017 di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Karnival Boling Kidal kembali gegar Mega Lanes

KUALA LUMPUR: Karnival Boling Kidal Beregu 2017 akan kembali menggegar Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya yang akan berlangsung di Sunway Mega Lanes pada 7 Oktober ini.

Program yang memasuki edisi ke-10 tahun ini, terbuka untuk pemain tangan kidal dalam usaha penganjur memeriahkan acara tahunan itu.

Pemain tangan kanan yang ingin bertanding mesti bergandingan dengan pemain tangan kidal sebagai syarat utama penyertaan. Bagaimanapun penganjur mengalu-alukan gandingan yang menggunakan tangan kidal.

Berdasarkan sambutan yang menggalakkan pada edisi sebelum ini, penganjur terpaksa mengehadkan penyertaan kepada 72 pasangan dengan menggunakan pendekatan 'siapa cepat dia dapat' dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 1 Oktober ini.

Yuran penyertaan untuk setiap regu adalah RM100, namun pemenang bakal membawa pulang hadiah lumayan. Karnival kali ini menawarkan hadiah wang tunai RM1,500 kepada juara termasuk hadiah iringan hamper serta piala.

Naib juara dan pemenang tempat ketiga pula masing-masing bakal menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan RM800 serta barangan penaja.

Gandingan yang berada dalam kedudukan 10 teratas turut berpeluang menerima hadiah wang tunai.

Lebih menarik, pemain tangan kidal yang mencatat jatuhan pin tertinggi dalam tiga permainan bakal membawa pulang wang tunai RM1,000.

Setiap pemain akan beraksi dalam tiga permainan dan pemenang akan ditentukan menerusi jumlah terkumpul bersama pasangan.

Penganjur juga memberi handikap 6 pin setiap permainan kepada pemain lelaki berusia bawah 16 tahun, manakala 8 pin untuk pemain perempuan berusia bawah 15 tahun.

Seperti mana yang diamalkan pada edisi sebelum ini, pemain kebangsaan tidak layak menyertai kejohanan ini.

Karnival unik ini dianjurkan bersama oleh Sunway Mega Lanes dan Kelab Sukan SportsUnite manakala syarikat minuman isotonik, Revive, Milo dan Antabax tampil selaku penaja utama.

Borang penyertaan boleh didapati di kaunter pendaftaran Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya atau menerusi Facebook SportsUnite,www.facebook.com/sportsunite.

Berita Harian X