Rabu, 23 Ogos 2017 | 1:30pm
ATLET wushu Malaysia, Phoon Eyin meraih dua pingat perak menerusi acara jianshu wanita dan qiangshu wanita. - Foto Zulfadhli Zulkifli
ATLET wushu Malaysia, Phoon Eyin meraih dua pingat perak menerusi acara jianshu wanita dan qiangshu wanita. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PHOON Eyin ketika beraksi dalam acara qiangshu wanita. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PHOON Eyin ketika beraksi dalam acara qiangshu wanita. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PHOON Eyin ketika beraksi dalam acara jianshu wanita. - Foto Khairull Azry Bidin
PHOON Eyin ketika beraksi dalam acara jianshu wanita. - Foto Khairull Azry Bidin

'Terjebak' dengan wushu sebab asma

KUALA LUMPUR: Tiada siapa menyangka, penyakit asma yang dihidapi Phoon Eyin ketika kecil akhirnya menyebabkan dia terpaksa 'terjebak' dengan sukan wushu.

Jelas atlet kelahiran Negeri Sembilan itu, pada mulanya dia sekadar menyertai wushu dengan harapan untuk menguatkan badannya memandangkan dia menghidap penyakit asma namun situasi itu akhirnya membuka jalan untuknya mengharumkan nama negara menerusi sukan wushu.

"Keluarga beranggapan sukan wushu adalah alternatif yang terbaik untuk menguatkan tubuh saya. Saya juga menyertainya sekadar untuk suka-suka dan menganggapnya hanya sebagai senaman biasa.

"Lama kelamaan, penyakit asma saya kian pulih dan timbul minat untuk lebih mendalami sukan wushu kerana saya tertarik dengan seni, kelembutannya dan ketegasan yang ada dalam sukan ini.

"Sebab itulah saya mula membabitkan diri secara serius dan berusaha meningkatkan kualiti persembahan sehinggalah berjaya menyertai kontinjen negara mendapat peluang beraksi di peringkat antarabangsa," katanya.

Eyin adalah antara penyumbang pingat buat skuad wushu negara apabila meraih dua pingat perak menerusi acara Jianshu wanita dan Qiangshu wanita sekali gus memperbaiki pencapaian satu perak dan satu gangsa yang dilakukan pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura.

Dalam masa sama, Eyin juga menjelaskan dia tidak pernah merasa janggal untuk mempraktikkan sukan wushu memandangkan semua adik beradiknya turut mempraktikkan seni mempertahankan diri itu.

"Tiga adik beradik yang lain iaitu abang dan dua kakak turut sama menyertai sukan ini dan mereka juga berjaya mewakili negeri di peringkat kebangsaan.

"Bagaimanapun, cuma saya seorang sahaja yang mengorak langkah lebih jauh untuk mewakili negara namun semuanya disebabkan sokongan dan dorongan daripada ahli keluarga yang lain," katanya.

Berita Harian X