Selasa, 22 Ogos 2017 | 6:06pm
ATLET Wushu Malaysia bergambar bersama selepas tamat acara wushu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Zulfadhli Zulkifli

Wushu samai prestasi 2001

KUALA LUMPUR: Skuad wushu negara menutup kempen Sukan SEA 2017 dengan penuh kebanggaan apabila menepati sasaran merangkul enam pingat emas, sekali gus menyamai pencapaian terbaik yang pernah diraih mereka pada temasya Sukan SEA 2001 yang juga berlangsung di laman sendiri.

Malah, pencapaian pada temasya kali ini boleh dianggap lebih baik berbanding 16 tahun lalu daripada segi jumlah keseluruhan kutipan pingat apabila Malaysia berjaya meraih lima perak dan tiga gangsa berbanding dua perak dan lima gangsa yang dimenangi pada temasya 2001.

Selain itu, pencapaian kali ini turut memperbaiki catatan yang diraih pada temasya di Singapura dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia sekadar membawa pulang dua emas, tiga perak dan empat gangsa.

Sebagai rekod, dua pingat emas disumbangkan Yeap Wai Kin menerusi acara Jianshu lelaki dan Qiangshu lelaki; dua pingat emas acara Taijijian lelaki dan Taijiquan lelaki oleh Loh Jack Chang serta pingat emas Nanquan wanita daripada Diana Bong dan pingat emas Nanquan lelaki oleh Ho Mun Hua.

Phooy Eyin menyumbang dua pingat perak menerusi acara Jianshu wanita dan Qiangshu wanita; dua pingat perak oleh Song Weng Son dalam acara Jianshu lelaki dan Qiangshu lelaki manakala satu lagi pingat perak dimenangi Loh Ying Ting dalam acara Gunshu wanita.

Tiga lagi gangsa disumbangkan Khaw Jun Lim dalam acara Daoshu-Gunshu lelaki, Audrey Chan Yee Jo dalam acara Taijijian wanita dan Mun Hua bagi acara Nandao-Nangun lelaki.

Sementara itu, jurulatih skuad wushu negara, Lim Yew Fai mengakui bukan sahaja mereka menepati sasaran yang ditetapkan, malah dia gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak buahnya sepanjang mengharungi temasya dwitahunan itu.

"Saya gembira melihat hampir keseluruhan atlet melakukan rutin mereka dengan sempurna. Mereka menyempurnakannya mengikut apa yang saya mahukan.

"Bagi saya, saya mahukan mereka berseronok menikmati persembahan yang mereka lakukan kerana bukan keputusan saja penting, tetapi juga kepuasan melakukan rutin wushu itu jauh lebih menggembirakan," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sebentar tadi.

Pengurus pasukan, Ho Ro Bin pula menyatakan segala tekanan yang dihadapi hilang serta merta apabila Jack Chang menghadiahkan emas keenam untuk skuad wushu, sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan mereka.

"Selepas meraih enam pingat emas, saya rasa kita semua boleh bertenang dan jika kita berjaya menambah pingat dalam tiga lagi acara, itu adalah bonus buat kita," katanya.

Bagaimanapun, skuad wushu negara gagal menokok sebarang pingat dalam tiga acara terakhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada sebelah petang ini.

Berita Harian X