Isnin, 21 Ogos 2017 | 7:00pm
ATLET Wushu Malaysia, Ho Mun Hua beraksi dalam acara Nangun Lelaki pada Sukan SEA KL2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur  (KLCC). - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Skuad wushu optimis tepati sasaran 6 emas

KUALA LUMPUR: Atlet wushu negara sekadar menokok satu pingat emas pada hari kedua pertandingan hari ini, selain menambah dua perak dan tiga gangsa, namun mereka masih lagi berada pada landasan terbaik untuk mencapai sasaran enam emas yang ditetapkan.

Jurulatih wushu negara, Lim Yew Fai berkata, dia optimis atletnya masih berpeluang mengutip dua emas esok, sekali gus melengkapkan sasaran yang ditetapkan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

"Hari ini saya gembira kerana mereka memberikan persembahan terbaik dan jika melakukan kesilapan pun ia tidak terlalu besar.

Kami melakukan persiapan ini hampir enam bulan, setiap bulan kita akan melakukan ujian dan dari situ kita dapat lihat mereka sentiasa mengurangkan kesilapan di dalam gelanggang," katanya.

Menurutnya, apabila KL2017 bermula, setiap anak buahnya dilihat sangat bersedia untuk memberikan aksi sempurna termasuk Ho Mun Hua yang meraih gangsa dalam acara nandao-nangun, hari ini.

"Sebagai contoh Mun Hua, dia melakukan aksi lebih baik berbanding ketika berlatih. Semua mereka ini sama seperti saya, tidak memikirkan berapa banyak pingat yang sudah kita menang tapi hanya mahu melakukan yang terbaik di dalam gelanggang.

Selepas dua hari, saya lihat mereka sangat menikmati peluang yang diberikan ketika berada di atas pentas. Hari terakhir esok, saya mahu mereka terus gembira dan selepas itu kita akan meraikannya bersama-sama.

"Esok kita masih ada peluang untuk tengok mereka meraih emas tapi bergantung kepada aksi yang diberikan dan persembahan atlet negara lain," katanya yang mengakui negara yang mengambil bahagian mempunyai kekuatan seimbang termasuk kuasa besar seperti Indonesia dan Vietnam


ATLET Wushu Malaysia, Yeap Wai Kin beraksi dalam acara Qiangshu Lelaki pada Sukan SEA KL2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur  (KLCC). - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Yeap Wai Kin menyemarakkan semangat rakan sepasukan apabila meraih emas acara qiangshu lelaki apabila mengutip 9.68 mata, menewaskan rakan senegara, Wong Wen Son yang menghimpun 9.65 mata dan gangsa menjadi milik atlet Indonesia, Muhammad Daffa Golden Boy (9.63)

Sementara itu, Phoon Eyin terpaksa berpuas hati dengan perak bagi acara qiangshu wanita, sekali lagi dikecewakan wakil Vietnam, Duong Thuy Vi yang mencatat 9.67 mata untuk emas sekali gus hanya berkelebihan 0.01 mata berbanding Phoon Eyin dan Oo Sandy (Myanmar)

Tiga gangsa pula diraih Khaw Jun Lim dalam acara daoshu-gunshu lelaki, Audrey Chan (taijijian wanita) dan Mun Hua (nandao-nangun lelaki).

Berita Harian X